SPRM siasat dakwaan Exco Kedah seleweng dana

0
212

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah sedang menyiasat dakwaan penyelewengan dana bantuan pakej rangsangan ekonomi yang dikaitkan dengan seorang Exco Kedah.

Pihak SPRM Kedah mengambil inisiatif menjalankan siasatan awal bagi mengesahkan sama ada terdapat isu pelanggaran undang-undang berkaitan bawah bidang kuasa SPRM.

Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap berkata, siasatan masih di peringkat awal dan akan dilakukan sekiranya didapati wujud unsur kesalahan bawah undang-undang berkaitan.

“Hal-hal berkaitan tidak dapat didedahkan kerana masih dalam peringkat awal siasatan,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

Beliau turut mengesahkan sehingga kini tiada laporan atau aduan rasmi dibuat oleh mana-mana pihak berhubung kes berkenaan, termasuk daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan, Asmirul Anuar Aris yang mendedahkan isu terbabit dalam Facebook miliknya.

Bagaimanapun, Shaharom Nizam enggan mengulas lanjut sama ada SPRM Kedah akan membuka kertas siasatan terhadap Exco berkenaan yang dikaitkan dengan salah laku tersebut.

Semalam, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menegaskan, kerajaan negeri menyerahkan kepada SPRM bagi menyiasat dakwaan yang dikaitkan dengan seorang Exco Kedah.

Muhammad Sanusi berkata, isu berkenaan perlu dirujuk kepada Asmirul yang menulis tentang perkara itu di Facebook miliknya dan menolak cabaran Asmirul supaya beliau dedahkan nama individu terlibat dalam penyelewengan dana bantuan terbabit.

Pada Khamis lepas, Asmirul yang juga bekas Exco Belia dan Sukan Kedah telah memuat naik satu kenyataan dalam Facebook miliknya dengan mencabar Muhammad Sanusi supaya membuat kenyataan akhbar menafikan wujudnya sebarang salah laku Exco Kedah.

Sebelum ini, SPRM dilaporkan sedang menyiasat satu kes melibatkan penyelewengan dana bantuan pakej rangsangan ekonomi di Kedah yang didakwa membabitkan seorang Exco Kedah.

Dalam pada itu, sumber memaklumkan siasatan awal berhubung kes terbabit dilakukan lebih awal sebelum Asmirul mendedahkan secara terbuka mengenai perkara itu.

“Pihak SPRM telah melakukan siasatan lebih awal sekitar dua atau tiga bulan lepas, bukan berdasarkan maklumat yang didedahkan oleh Asmirul,” kata sumber terbabit.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here