840kg ganja dirampas di Pulau Pinang, terbesar tahun ini

0
740

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

POLIS Pulau Pinang berjaya merampas sebanyak 840 kilogram (kg) dadah jenis ganja bernilai RM2.12 juta daripada satu sindiket di negeri itu iaitu rampasan terbesar bagi tahun ini.

Rampasan itu dilakukan menerusi operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Pulau Pinang dalam dua serbuan pada Jumaat dan Sabtu lalu di Sungai Bakap dan Nibong Tebal.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam serbuan antara pukul 10.50 malam hingga 1 pagi itu, seramai lapan lelaki iaitu enam rakyat tempatan dan dua warga Thailand berumur antara 35 hingga 59 tahun dipercayai terbabit dalam sindiket berkenaan.

“Modus operandi sindiket ini adalah menyeludup masuk dadah ganja dari selatan Thailand melalui jalan laut untuk diedarkan di pasaran tempatan.

“Sindiket ini dipercayai mula aktif sejak hujung 2021 dan dadah yang dirampas ini jika terlepas ke pasaran boleh digunakan oleh seramai kira-kira 1.68 juta penagih,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat kontinjen polis (IPK) Pulau Pinang, hari ini.

Polis turut menyita pelbagai aset sindiket terbabit yang dianggarkan bernilai RM80,000 menjadikan jumlah rampasan dadah dan sitaan adalah RM2.2 juta

Menurut Ayob Khan, ujian air kencing ke atas suspek mendapati empat daripada mereka positif dadah jenis THC manakala seorang positif morfin.

Sementara itu tambahnya, seramai lima daripada mereka juga didapati mempunyai rekod lampau di bawah kesalahan dadah dan jenayah.

“Menerusi operasi ini juga, kita turut menyita pelbagai aset sindiket terbabit yang dianggarkan bernilai RM80,000 menjadikan jumlah rampasan dadah dan sitaan adalah RM2.2 juta,” katanya.

Tambah beliau, kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 11 Jun lalu bagi membantu siasatan. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here