Thailand guna ganja sebagai sumber makanan ayam, hasil lebih berkualiti

0
396

PENTERNAK ayam di wilayah Lampang, di utara Thailand menggunakan ganja sebagai makanan untuk ayam bagi meningkatkan kualiti telur dan daging haiwan tersebut.

Memetik laporan CNN Indonesia, para penternak percaya bahawa penggunaan ganja dapat meningkatkan kualiti telur dan daging hasil ternakan tersebut.

Presiden perusahaan komuniti Peth Lanna, Sirin Chaemthet dilaporkan berkata bahawa ramai penternak memilih untuk menggunakan ganja selepas ayam mereka didapati dijangkiti penyakit bronkitis burung meskipun telah diberi antibiotik.

Katanya, bagi mengatasi penyakit tersebut, ayam mereka telah diberikan ganja dan hasilnya haiwan itu memiliki daya ketahanan yang lebih tinggi untuk melawan penyakit itu.

Selain dari itu juga, ayam tersebut dilaporkan mampu untuk bertahan dalam menghadapi cuaca buruk.

Ekoran itu, para penternak memutuskan ganja sebagai pengganti kepada ‘antibiotik’ kepada ternakan mereka bagi menghasilkan daging dan telur yang lebih baik.

Menurut Chaemtat, sebuah eksperimen mengenai pemberian ganja sebagai sumber makanan telah dijalankan oleh Fakulti Agrikultur dari Universiti Chiang Mai.

Katanya lagi, perusahaannya kini menjual ayam dan telur dengan harga 100 baht (RM12.68) per kilo dan 6 baht (RM0.76) sebiji.

Chaemthat turut berkongsi maklum balas positif yang diterima daripada peniaga nasi ayam daripada hasil ternakannya itu. 

Menurut Chaemthet, ayam ternakannya memenuhi keinginan para pengguna kerana menggunakan makanan yang sihat dan secara organik.

Sementara itu, Presiden Majlis Peladang Kebangsaan Prapat Panyachatrak dilaporkan berkata menggunakan ganja dan bukannya antibiotik akan memastikan keselamatan pengguna dan “meningkatkan nilai komersial produk ayam”.

Thailand pada Khamis lalu menjadi negara pertama di Asia yang membenarkan penanaman ganja.

Langkah itu bermakna penanaman dan perdagangan produk ganja untuk tujuan kesihatan kini tidak lagi menyalahi undang-undang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here