Cubaan seludup minyak awal pagi, tiga individu ditahan

0
519

Tiga individu termasuk seorang warga asing ditahan disyaki selepas didapati terbabit dalam aktiviti menyeludup minyak petrol bersubsidi di Batu 32, Sandakan, semalam.

Operasi kira-kira jam 1.30 pagi itu dilakukan anggota Tiger Platon Batalion 15 Pasukan Gerakan Awam (PGA) dan anggota Task Force Perisikan Batalion 15 PGA Sandakan.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias, berkata pasukan operasi mengesan kegiatan pengisian minyak petrol bersubsidi secara tidak sah, hasil maklumat orang ramai.

Katanya, pasukan operasi kemudiannya membuat pemerhatian selama 30 minit di stesen minyak berkenaan.

“Anggota PGA menahan tiga lelaki berusia 19 hingga 36 tahun membabitkan dua warga tempatan dan seorang warga Indonesia.

“Pasukan operasi merampas dua lori yang dipercayai terbabit dalam kegiatan mengendalikan minyak petrol bersubsidi secara tidak sah.

“Anggaran nilai barang rampasan ialah RM109,020,” katanya menurut laporan BH Online.

Abdul Rani berkata, semua tangkapan dibawa ke Balai Polis Sandakan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk tindakan susulan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here