Tubuh jawatankuasa khas banteras kes penipuan wang online

0
217

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

SATU jawatankuasa khas bagi membanteras penipuan dalam talian perlu ditubuhkan segera bagi mengelakkan rakyat dan pelabur hilang keyakinan terhadap keselamatan sistem kewangan negara.

Timbalan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Oh Tong Keong berkata, kerajaan serta pihak berkuasa berkaitan seperti Bank Negara Malaysia (BNM); polis; Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu mengambil serius dan menggandakan usaha dalam membanteras sindiket penipuan dalam talian yang semakin meningkat ketika ini.

Jelas beliau, trend kes penipuan dalam talian yang berlaku kebelakangan ini bukan disebabkan mangsa kehilangan kad bank atau mendedahkan maklumat OTP mereka kepada pihak ketiga, sebaliknya duit simpanan mereka didapati hilang begitu sahaja.

“Selain duit di dalam akaun simpanan semasa, pengguna turut kehilangan wang mereka di dalam akaun simpanan tetap.

“Ini adalah sangat mengejutkan dan mengecewakan kerana orang ramai menyimpan duit di bank kerana yakin dengan sistem keselamatan bank, namun apa yang berlaku ada sebaliknya,” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambah beliau, walaupun ramai mangsa sudah membuat laporan polis, namun dalam kebanyakan kes mereka tidak mendapat maklum balas.

“Bukankah ini satu insiden yang menakutkan dan menunjukkan terdapat kelemahan dalam sistem keselamatan bank negara?

“Mengapa boleh berlakunya transaksi kewangan tanpa perkongsian maklumat OTP? Adakah ini disebabkan kecuaian pihak bank?” katanya.

Tambah beliau, pihak berkuasa khususnya polis dan BNM perlu menjalankan siasatan dengan segera sebaik sahaja menerima aduan atau laporan daripada mangsa termasuk membekukan akaun yang telah menerima duit daripada mangsa dengan segera.

Dalam masa sama ujar beliau, BNM juga perlu mengarahkan semua bank mengukuhkan kembali sistem keselamatan mereka bagi mengelakkan jenayah dalam talian daripada berterusan.

“Isu ini jika tidak ditangani dengan baik boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan rakyat termasuk pelabur terhadap keselamatan sistem kewangan negara,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here