Pengorbanan sepanjang hayat, ibu derma buah pinggang

0
462

KASIH sayang seorang ibu tiada ganti dan rela berkorban apa sahaja demi kebahagiaan anak sehingga sanggup memberi sebelah buah pinggang sendiri.

Itu yang dilakukan oleh Hamiza Abdul Hamid, 48 dari Taman Muhibbah, Jerantut Pahang, bagi menyelamatkan anak sulungnya, Nor Zulaika Roslan, 23 yang menghadapi masalah buah pinggang mengecut tahap lima.

Demi memungkinkan anak sulungnya itu kembali sihat dan meneruskan hidup secara normal, Hamiza yang juga Pembantu Rawatan kesihatan di Pusat Desa Bina Diri, membuat keputusan demikian selepas Nor Zulaika disahkan menghidap penyakit itu selepas menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, (HoSHAS), Temerloh tahun lepas.

“Ketika Nor Zulaika sedang membuat latihan praktikal di sebuah pejabat kerajaan di Jerantut dan beliau tiba-tiba jatuh dan rasa macam nak kena strok serta darah tingginya naik.

“Anak sulong saya di bawa ke Hospital Daerah Jerantut dan kemudian dirujuk ke HoSHAS Temerloh dan doktor pakar nephrologi mendapati beliau menghadapi masalah buah pinggang mengecut tahap lima,” katanya kepada BH Online.

Beliau berkata, anaknya mendapat rawatan seminggu di situ dan kemudian setiap bulan terpaksa datang semula untuk rawatan susulan.

Kini, katanya, Nor Zulaika menggunakan alat khas iaitu memasuk tiup pada perut yang digunakan untuk menggantikan air khas empat kali sehari bagi menggantikan buah pinggangnya yang tidak berfungsi.

Hamiza berkata, beliau sudah menjalani proses saringan sebagai persediaan akhir bagi menjalani proses pemindahan buah pinggang untuk diberikan kepada anaknya.

“Ujian kesihatan sudah dijalankan dan saya lulus pemeriksaan yang dilakukan oleh Hospital Selayang yang akan membuat pembedahan pemindahan buah pinggang Ogos ini.

“Setakat ini, kos rawatan untuk pemindahan satu buah pinggang saya belum diberitahu lagi, namun saya berharap ia dapat berjalan dengan lancar.

“Saya tidak sanggup lagi melihat dia menderita sebab itulah saya sanggup memberikan buah pinggang untuk anak saya kerana perjalanan hidupnya masih jauh,” katanya.

Hamiza dan suami, Roslan Jamaluddin, 49, yang bekerja sendiri mempunyai lima anak termasuk yang masih bersekolah.

Dalam pada itu, Nor Zulaika berkata, tiada kata yang dapat diungkap dengan tindakan ibunya itu, dan amat terharu dengan kerelaan ibunya itu memberikan sebelah buah pinggangnya.

“Terlalu banyak ibu berkorban untuk kami semua dan saya nekad akan balas jasanya dan akan ubah nasib keluarga kami setelah bekerja nanti. Tidak dinafikan, ia adalah saat getir yang terpaksa dialami oleh keluarganya tetapi saya pasrah dengan ujian Allah ini,” ujarnya.

Pada waktu yang sama, Pengerusi Perkumpulan Wanita, (WI) Sungai Jan, Datin Saadiah Khonopiah, yang juga isteri kepada Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris, turut simpati dengan keadaan anak Hamiza, Nor Zulaika yang menghadapi masalah buah pinggang di usia muda.

Saadiah turut memberi sedikit sumbangan wang kepada Hamiza yang juga aktif dalam WI di Sungai Jan bagi meringankan perbelanjaan ketika beliau dan anaknya menerima rawatan di Hospital Selayang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here