Ibu bapa anak bersekolah terima kesan besar kenaikan harga barang

0
491

BANYAK rungutan Tok Chey terima daripada pengusaha kantin sekolah. Mereka tertekan dengan harga bahan mentah yang meningkat di luar kawalan ketika ini.

Selain isu itu, mereka juga menghadapi kesulitan untuk beroperasi apabila terdapat beberapa jenis barang keperluan seperti ayam dan sayur yang sukar diperolehi di pasaran akibat masalah bekalan.

Rata-rata mereka juga berasa tidak mampu lagi untuk meneruskan perniagaan jika harga barang terus melambung dan hasil jualan tidak mampu menampung modal harian.

Pengusaha kantin juga berasa tersepit kerana mereka baru saja bangkit daripada kesusahan apabila tidak dapat beroperasi hampir dua tahun memandangkan sebelum ini sekolah melaksanakan sesi pembelajaran secara online.

Kata mereka, untuk terus bertahan harga makanan yang dijual di kantin sekolah perlu dinaikkan bagi mengimbangi kenaikan harga barang.

Dan apabila harga makanan dinaikkan, kesan paling awal diterima ialah ibu bapa terpaksa memberi lebih wang saku kepada anak masing-masing.

Selain perlu berhadapan dengan kenaikan harga makanan di kantin sekolah, ibu bapa sebenarnya sama ada suka atau tidak, terpaksa berhadapan dengan beberapa kenaikan lain yang melibatkan persekolahan anak mereka.

Pertamanya tambang van dan bas sekolah di Lembah Klang dijangka mengalami kenaikan bermula Julai ini seperti yang dinyatakan Pengerusi Persatuan Bas Sekolah Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur, Mohd Haron Mohd Sidik.

Menurut laporan media, Mohd Haron berkata, kenaikan tersebut terpaksa dibuat kerana kos penyelenggaraan serta alat ganti kenderaan yang meningkat mendadak antara 50 hingga 80 peratus pada tahun ini.

Ujarnya lagi, tambang baharu itu akan dimuktamadkan antara pengusaha dan ibu bapa dalam masa terdekat.

Dalam soal tambang ini sebenarnya Tok Chey turut menerima aduan daripada rakan-rakan yang merungut sudah dikenakan harga baharu pada awal tahun ini apabila pengusaha van menaikkan tambang sebanyak RM10 bagi setiap anak.

Ada seorang kawan Tok Chey yang mempunyai empat anak perlu mengeluarkan bayaran tambahan sebanyak RM40 untuk khidmat van sekolah pada tahun ini.

Katanya, jika dinaikkan lagi, maka dia tidak tahu berapa lagi yang perlu dibayar kerana untuk perbelanjaan bulanan van sekolah sahaja, kawan Tok Chey itu perlu memperuntukkan sebanyak RM700 sebulan.

Itu belum dikira perbelanjaan lain lagi seperti alat tulis kerana Tok Chey ada dengar juga keluhan daripada ibu bapa bahawa harga kelengkapan persekolahan seperti buku, alat tulis, kertas A4 dan sebagainya sudah mengalami kenaikan antara RM1 hingga RM5.

Rungutan dan aduan yang Tok Chey terima itu pula ternyata benar kerana apabila ditanya kepada pemilik kedai peralatan alat tulis, mereka mengakui bahawa terpaksa menaikkan harga kerana telah dinaikkan oleh pembekal.

Maka, Tok Chey dapat simpulkan bahawa ibu bapa yang mempunyai anak yang bersekolah paling teruk terjejas dengan keadaan sekarang ini kerana bukan sahaja terbeban dengan kenaikan harga barang keperluan, mereka juga perlu menghadapi kenaikan untuk pendidikan anak-anak.

Pada pandangan Tok Chey, isu melibatkan kenaikan harga barang dan kos perkhidmatan yang berkaitan sektor pendidikan perlu ditangani dengan berhemah kerana ia melibatkan masa depan anak-anak kita.

Kita tidak mahu ibu bapa mengambil jalan singkat tidak menghantar anak ke sekolah kerana tidak mampu kerana ia menutup masa depan anak-anak terbabit untuk berjaya dan menafikan hak mereka untuk menuntut ilmu.

Oleh itu, Tok Chey amat berharap supaya semua menteri yang terlibat agar segera mencari penyelesaian yang seimbang dalam memastikan ibu bapa tidak terus terbeban dengan isu kos yang meningkat ketika ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here