Lelaki maut tercampak dari kereta

0
229

SEORANG lelaki maut selepas tercampak dari kereta dipandunya dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 244.7, Lebuhraya Utara- Selatan (Plus) arah selatan, dekat Seremban, pada pagi Selasa.

Harian Metro melaporkan, dalam kejadian kira-kira jam 9.40 pagi itu, mangsa, Muhammad Fitriazrul Hashim, 21, cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, mangsa yang berasal dari Alor Gajah, Melaka, itu dikatakan merempuh bahagian belakang sebuah kenderaan di hadapannya sebelum terbabas dan melanggar penghadang besi di sebelah kanan lebuh raya.

“Kemalangan berlaku apabila sebuah kenderaan utiliti (SUV) jenis Honda CRV yang dipandu seorang lelaki berusia 65 tahun sedang bergerak dari arah Kuala Lumpur menuju ke Melaka.

“Hasil siasatan awal mendapati, ketika tiba di lokasi kejadian, warga emas berkenaan yang memandu di lorong tengah dipercayai dilanggar Muhammad Fitriazrul dari arah belakang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nanda berkata, akibat rempuhan itu, kereta jenis Honda Jazz yang dipandu mangsa dikatakan hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar besi penghadang tengah jalan lalu tercampak keluar.

“Kemudian, datang sebuah kereta jenis Mercedes yang dipandu seorang lelaki berusia 42 tahun di lorong kanan dari arah belakang tidak sempat mengelak dan melanggar bahagian belakang Honda Jazz,” katanya.

Beliau berkata, akibat kemalangan pemandu Honda Jazz mengalami kecederaan di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayatnya dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) bagi pengendalian bedah siasat. Dua lagi pemandu tidak mengalami kecederaan.

“Siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here