Polis bongkar sindiket edar dadah, empat termasuk warga Ukraine ditahan

0
351

Kegiatan sindiket pengedaran dadah di Lembah Klang yang dipercayai beroperasi sejak enam bulan lalu terbongkar dalam serbuan di bangunan kedai di Batu 11, Cheras, Kajang, 24 Mei lalu.

Harian Metro melaporkan, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, Asisten Komisioner Ahmad Jefferi Abdullah berkata, pihaknya menjalankan serbuan di lokasi berkenaan kira-kira jam 6 petang.

“Dalam serbuan itu, kami menahan seorang lelaki warga Ukraine dan tiga lelaki tempatan berusia antara 30 hingga 44 tahun yang sedang leka mengangkat kotak.

“Kami turut menemui satu kotak bungkusan teh cina serta plastik lut sinar mengandungi syabu seberat 39 kilogram dianggarkan bernilai RM1.4 juta yang diletakkan di dalam sebuah kereta Perodua Bezza.

“Kami turut menyita tiga kereta iaitu Mercedes Benz, Toyota Vios serta Perdua Bezza; wang tunai berjumlah RM20,380; wang tunai 35,000 baht atau RM4,503 dan beberapa barang kemas bernilai RM109,200 menjadikan nilai keseluruhan sitaan sebanyak RM389,083,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, pada Isnin. Turut hadir, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan.

Ahmad Jefferi berkata, siasatan awal mendapati bekalan dadah berkenaan dipercayai diperoleh dari negara jiran sebelum diedarkan kepada pengedar dadah kecil-kecilan di sekitar Lembah Klang.

“Semakan dilakukan mendapati pasport milik individu warga Ukraine berkenaan adalah sah. Dia sudah dua kali datang ke Malaysia iaitu pada April lalu sebelum keluar ke Thailand dan datang semula awal bulan lalu (Mei).

“Hasil ujian saringan dilakukan mendapati dua daripada empat suspek berkenaan positif dadah dan dua daripada mereka juga mempunyai rekod kesalahan kes dadah serta jenayah,” katanya.

Katanya, pihaknya tidak menolak kemungkinan ada saki baki sindiket ini yang masih bebas dan usaha mengesan mereka giat dijalankan.

“Semua suspek direman selama tujuh hari bermula 25 Mei lalu hingga esok dan permohonan untuk melanjutkan reman akan dilakukan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here