Tak salah Bersatu namakan calon pengganti Zuraida

0
244

Oleh RIZQI ZABIDI

LANGKAH Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mencalonkan individu tertentu bagi menggantikan Datuk Zuraida Kamaruddin sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, tidak seharusnya menjadi perdebatan oleh mana-mana pihak.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, meskipun hak untuk melantik menteri merupakan prerogatif Perdana Menteri, Bersatu tetap berhak untuk memberi nama bagi dipertimbangkan sebagai pengganti kerana kedudukan Ahli Parlimen Ampang itu sebagai menteri, adalah atas kuota Bersatu.

Menurutnya, pelantikan menteri sebelum ini juga sememangnya dibuat berdasarkan pencalonan dari parti.

“Pelantikan Perdana Menteri pun dibuat berdasarkan sokongan dari parti. Kalau kita kata Perdana Menteri boleh buat apa saja, lebih baik jadi Perdana Menteri bebas kerana mereka takkan terikat dengan keputusan parti mahu pun gabungannya.

“Kita bergabung bertujuan memastikan berlaku pembahagian tanggungjawab serta amanah, demi menjaga kebajikan rakyat. Memanglah betul urusan pelantikan menteri merupakan prerogatif Perdana Menteri tetapi beliau tentunya bertindak mengikut cadangan dari parti,” katanya kepada pemberita selepas beramah mesra dengan pemandu teksi di Changlun, hari ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin ketika bercakap kepada sebuah akhbar semalam meminta semua pihak untuk menghormati hak prerogatif Perdana Menteri dalam pelantikan menteri seperti dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Khairy, semua pihak tidak seharusnya memberi tekanan kepada Perdana Menteri berhubung perkara itu.

Sementara itu Wan Saiful berkata, beliau merasakan Bersatu tidak akan mengambil masa yang terlalu lama untuk memberi nama kepada Perdana Menteri mengenai individu yang dirasakan layak menggantikan Zuraida.

“Saya pasti Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah ada calon yang difikirkan sesuai sebab isu Zuraida ini bukan baru timbul.

“Ketika ini Perdana Menteri dan Zuraida, kedua-duanya ada di luar negara. Jadi kita berilah masa agar setiap prosedur dapat berjalan dengan sebaik mungkin,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here