15 nelayan Vietnam ceroboh perairan ditahan

0
201

SEBUAH bot nelayan Vietnam bersama-sama 15 kru kerana menceroboh perairan negara ditahan pada pukul 3 petang kelmarin pada kedudukan 100 batu nautika dari Kuala Terengganu.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, bot nelayan asing tersebut ditahan aset maritim dalam rondaan operasi penguatkuasaan bersepadu Op Naga Barat dan Op Khas Kuda Laut di kawasan terbabit.

“Pemeriksaan terhadap 15 kru termasuk tekong bot yang merupakan warga Vietnam berumur antara 20 hingga 50 tahun juga gagal menunjukkan pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Sinar Harian.

Pihaknya turut merampas peralatan menangkap ikan, hasil laut pelbagai jenis dianggarkan seberat 700 kilogram dan bekalan diesel kira-kira 1,000 liter yang dianggarkan bernilai RM1.5 juta.

Muhammad Suffi berkata, bot dan kesemua kru yang ditahan dibawa ke Jeti Maritim Negeri Terengganu untuk siasatan lanjut.

Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran daripada Pengarah Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/1963 kerana gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here