Sulaiman perlu segera ganti Rauf sebagai Pengerusi UMNO Melaka

0
383

UMNO Bahagian Alor Gajah mencadangkan agar Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali segera dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO negeri dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang baharu menggantikan Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

Cadangan tersebut disuarakan pemangku Ketua Bahagian, Datuk Rospandi Leman yang mahu jawatan tersebut digantikan dengan Sulaiman, susulan timbul spekulasi gerakan untuk menyingkirkan Sulaiman baru-baru ini.

Menurut Rospandi, langkah itu untuk mengukuhkan kepimpinan UMNO dan BN di peringkat bahagian serta negeri sekiranya KM adalah individu yang sama memegang kedua-dua jawatan tersebut.

“Jawatankuasa UMNO Bahagian Alor Gajah juga berpendirian, fokus utama kepimpinan kerajaan negeri pada masa ini adalah untuk memulihkan semula pembangunan ekonomi negeri dan kehidupan rakyat selepas pandemik Covid-19.

“Bukan hal-hal yang tidak sepatutnya sehingga boleh merencatkan usaha dan perancangan kerjaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

Tambah Rospandi, UMNO bahagian itu menyatakan pendirian yang jelas dan tegas serta menzahirkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Sulaiman yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu.

Katanya, pendirian bahagian itu selaras dengan aku janji yang dibuat oleh UMNO dan BN bahawa Sulaiman akan terus kekal dilantik sebagai KM jika parti terus diberikan mandat baharu.

“Sebarang cubaan menganggu gugat kepimpinannya sebagai Ketua Menteri, perbuatan untuk mengkhianati mandat besar yang telah diberikan oleh pengundi dan rakyat Melaka,” katanya.

Sebelum ini, khabar angin yang sama turut tersebar mendakwa terdapat langkah untuk menggulingkan Sulaiman oleh seorang lagi pemimpin parti, yang dikatakan sedang mengintai jawatan KM Melaka.

Walaupun tidak memegang sebarang jawatan kanan dalam UMNO Melaka, pucuk pimpinan parti memilih Sulaiman untuk menerajui negeri itu semula selepas BN muncul pemenang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka November tahun lepas.

Sulaiman mengangkat sumpah sebagai KM Melaka ke-13 di Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka pada 21 Nov tahun lepas, selepas BN memenangi PRN Melaka.

Ini merupakan kali kedua Sulaiman dilantik sebagai KM Melaka selepas pertama kali dilantik ke jawatan berkenaan pada 9 Mac 2020, menggantikan Adly Zahari yang dilantik KM Melaka ke-11 pada 11 Mei 2018. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here