Lama menyepi, Rita Rudaini kembali berlakon

0
235

PERNAH dipinggirkan gara-gara menolak vaksin dan tidak ‘dibenarkan’ menjalani penggambaran sebelum ini, nampaknya pelakon Rita Rudaini boleh menarik nafas lega apabila sudah menerima tawaran untuk masuk ke set penggambaran semula.

Perkara tersebut didedahkan oleh penerbit popular, Fadzil Teh yang teruja apabila pelakon berkenaan sudah menyatakan persetujuan untuk terlibat sama dalam satu projek drama tidak lama lagi.

“Hubungan baik antara kami memang sudah terjalin sejak dahulu lagi. Bila kita ajukan cadangan, dia terima sahaja dan tak ada masalah untuk menerima pelawaan kita.

“Saya sendiri teruja dengan perkara ini memandangkan dia seorang pelakon yang hebat. Rugi kalau kita terus menolak ketepi bakat yang ada dalam dirinya dan akan merugikan industri,” kata penerbit Zeel Production Sdn Bhd ini lagi.

Seperti mana yang diketahui umum, sebelum ini pihak Perbadanan Kemanjan Filem Nasional Malaysia (FINAS) ada meletakkan syarat untuk setiap produksi drama dan filem ikuti bagi mengekang Covid-19.

Garis panduan tersebut turut menekankan hanya mereka yang sudah lengkap divaksin sahaja boleh bekerja.

Namun, berikutan dengan perubahan fasa endemik yang diumumkan baru-baru ini, ia memberikan kelonggaran kepada banyak perkara termasuklah kepada mereka yang belum divaksin.

Rita antara selebriti yang lantang menolak vaksin sebelum ini sudah ‘dipinggirkan’ dan pastinya kemunculan semula ibu kepada dua orang cahaya mata ini akan mengubat kembali kerinduan peminat terhadapnya.

Mengakui cukup berhati-hati dalam membuat keputusan tersebut, Fadzil bagaimanapun sudah merujuk perkara berkenaan kepada stesen TV dan kru produksi terlebih dahulu.

“Untuk membuat keputusan ini, kami sudah berbincang bersama produksi dan stesen TV. Mereka bersetuju untuk bekerjasama dan barulah semuanya akan bermula.

“Bila nak bercakap hal sensitif macam ni, semua orang ada pandangan masing-masing. Kita tak boleh nak tutup mulut orang lain.

“Kita sendiri cukup berwaspada dan tidak mahu ada jangkitan Covid-19 apabila penggambaran bermula. Semua kena berhati-hati,” tambahnya lagi.–SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here