Persoal Aminuddin berpindah keahlian PKR ke Port Dickson

0
266

BEKAS Timbalan Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Tampin, Jeffery Young Ahmad, kesal terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang berpindah keahliannya di Cabang Port Dickson tanpa memaklumkan kepada ahli Cabang Tampin.

“Walaupun keputusan itu hak Aminuddin, namun sepatutnya dimaklumkan kepada ahli-ahli Cabang Tampin kerana beliau merupakan Ketua Cabang itu sebelum ini,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

Jeffery Young mempersoalkan mengapa tidak dimaklumkan beliau keluar dari Cabang Tampin?

“Soal perpindahannya ke Port Dickson pun kami tahu daripada laporan media saja.

“Saya sebagai individu yang membawa beliau ke Tampin pada 16 Julai 2018 sangat kecewa kerana bukan saja saya tidak dimaklumkan perkara ini tetapi juga ahli-ahli lain,” katanya lagi.

Beliau juga mengakui tidak pasti apa motif sebenar Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri(MPN) PKR Negeri Sembilan itu berbuat demikian namun tindakannya itu memperlihatkan dirinya yang tidak berani.

Ujarnya, bukan sengaja mahu menimbulkan isu ketika berlangsungnya pemilihan PKR ketika ini tetapi sekadar meluahkan rasa kecewa.

“Keahlian saya juga digantung gara-gara memberi teguran. Bagaimanapun, saya tetap sayangkan PKR dan tidak pernah terfikir untuk sertai parti lain.

“Walaupun ketika ini saya tiada hak lagi sebagai ahli parti, saya sangat berharap proses pemilihan PKR kali ini berjalan dengan telus dan kita dapat memilih pemimpin parti yang terbaik,” katanya.

Media pada Mac lalu melaporkan, Aminuddin menegaskan perpindahan keahliannya dari Cabang Tampin ke Cabang Port Dickson pada 31 Januari lalu merupakan kehendak sendiri.

Aminuddin menyifatkan dalam politik, perpindahan merupakan perkara biasa dan tiada campur tangan kepimpinan parti di peringkat Pusat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here