Sukan SEA: Atlet wushu cipta kejutan rangkul dua emas, sebutir perak

0
353

KEM wushu negara tampil cemerlang apabila mencipta kejutan merangkul dua pingat emas dan sebutir perak menerusi disiplin taolu pada hari pertama sukan itu dipertandingkan di Sukan SEA ke-31 di Hanoi. 

Lebih menceriakan apabila ketiga-tiga pemenang pingat itu, merupakan atlet yang beraksi buat kali pertama di temasya dwitahunan berkenaan, sekali gus memastikan sasaran sebutir perak dan sebutir gangsa skuad wushu tercapai.

Kilauan emas pertama di Cau Giay Gymnasium di sini, hadir menerusi Clement Ting Su Wei, 24, pada acara changquan lelaki selepas beliau mencatatkan 9.70 mata.

Walaupun memperoleh mata yang sama dengan juara 2017 Lim Jowen Si Wei dari Singapura, selepas kedua-duanya berjaya melengkapkan persembahan tanpa kesilapan, Clement diangkat sebagai juara kerana gaya persembahannya lebih memikat barisan juri.

Seorang lagi wakil Malaysia pada acara itu, Yeap Wai Kin, terlepas kedudukan podium menerusi 0.01 mata untuk berada pada kedudukan keempat dengan 9.68 mata, di belakang Seraf Naro Siregar (9.69) dari Indonesia.

Tan Zhi Yan kemudiannya mengungguli acara taijiquan lelaki bagi menghadiahkan pingat emas ke-11 negara.

Atlet berusia 22 tahun dari Batu Berendam, Melaka itu berjaya memukau para juri dengan gerakan mantap untuk meraih 9.71 mata, diikuti Jones Inso (9.70) dari Filipina dan Jun Kai Chan (9.57) dari Singapura.

Sementara itu, Calvin Lee Wai Leong membawa pulang pingat perak acara nandao lelaki dengan 9.68 mata, manakala wakil tuan rumah Phạm Quoc Khanh (9.70) dan Huu Nong Van (9.67) masing-masing meraih emas dan gangsa.

Bagi acara jianshu wanita, Pan Pui Yee, menamatkan saingan pada tempat tercorot dalam kalangan tujuh peserta apabila hanya mendapat 9.36 mata.

Cabaran skuad taolu negara bersambung esok menerusi acara daoshu + gunshu lelaki dan wanita, taijijian lelaki, qiangshu wanita, tajiquan wanita serta nanquan lelaki. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here