Sindiket PATI tunggu tengah malam masuk ke negara ini

0
211

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor mengesan modus operandi sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) membawa masuk mereka masuk secara haram pada waktu tengah malam hingga awal pagi.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohd. Rosli Kassim berkata, mereka menunggu untuk menceroboh perairan negara bermula pukul 12 tengah malam sehingga 4 pagi bagi mengaburi kegiatan itu daripada mudah dikesan pihak berkuasa.

“Modus operandi sindiket itu dikesan hasil risikan, maklumat dan tangkapan yang dijalankan pihak maritim.

“Mereka (sindiket) menggunakan bot pom-pom, bot pancung, bot nelayan tempatan atau bot barter trade.

“Bot nelayan tempatan ini berperanan untuk melakukan pemindahan PATI di sempadan perairan negara sebelum dibawa masuk ke dalam negara,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata, PATI yang mendarat kemudian akan menggunakan khidmat kenderaan e-hailing bagi urusan pengangkutan ke rumah penampungan atau ke lokasi tertentu.

Katanya, Maritim Selangor mengenal pasti terdapat enam hotspot pendaratan PATI iaitu persisiran pantai Sabak Bernam, Sekinchan, Jeram, Pulau Carey, Morib dan Tanjung Rhu.

“Ini berikutan hasil tangkapan 88 PATI bagi tempoh empat bulan pada tahun ini sehingga April.

“PATI terdiri daripada 82 warga Indonesia dan enam Myanmar itu termasuk penahanan dua kanak-kanak,” ujarnya.

Tegasnya, pihak Maritim mengingatkan agar jenayah ini dihentikan termasuklah kepada pemandu e-hailing agar tidak bersekongkol dengan sindiket kerana mengejar upah lumayan hingga sanggup menjadi pengkhianat negara.

“Kita sentiasa pertingkat risikan dan sekiranya tertangkap, individu terlibat akan dikenakan hukuman berat.

“Orang ramai juga disaran untuk salur maklumat dalam membantu penguat kuasa dalam usaha membenteras jenayah ini.

“Jika terlihat atau pun mengetahui apa-apa aktiviti yang mencurigakan sila lapor kepada agensi penguat kuasa,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here