Banjir kilat landa Janda Baik, 42 keluarga berpindah

0
502

SEBANYAK 42 keluarga terpaksa berpindah ke kawasan selamat apabila banjir kilat melanda beberapa perkampungan di Janda Baik selepas hujan berterusan sejak malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang berkata, pihak mereka sedang dalam usaha menyelamat dan memindahkan mangsa yang masih terperangkap setelah pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 5.27 pagi.

“Setakat ini, terdapat dua perkampungan utama iaitu Kampung Sum Sum dengan 12 keluarga telah berpindah. Tiga keluarga daripadanya diselamatkan anggota bertugas.

“Di kampung Chemperoh pula, sebanyak 30 keluarga telah berpindah dengan sendiri selepas mendapati kampung mereka dinaiki air awal pagi tadi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, pihaknya telah menghadapi kesukaran apabila terdapat pokok tumbang yang menghalang jalan masuk ke lokasi kejadian

Walau bagaimanapun, pihak bomba dan penyelamat telah memotong pokok yang tumbang itu bagi memudahkan operasi menyelamat.

“Terdapat juga tanah runtuh di jalan masuk ke Janda Baik dan di antara Kampung Sum Sum ke Kampung Chemperoh. Jalan tersebut terpaksa ditutup untuk kerja-kerja pembersihan batu dan lumpur.

Operasi pemantauan di sekitar empat buah kampung berdekatan sedang diteruskan sehingga kini,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here