Maritim tahan dua bot, 10 nelayan Vietnam di perairan Kemaman

0
335

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Zon Maritim Kemaman menahan dua bot nelayan tempatan dan 10 nelayan Vietnam di kedudukan kira-kira 26 batu nautika timur laut perairan Kuala Kemaman, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kemaman Komander Maritim Rashidilhadi Abdul Rashid berkata, kedua-dua bot itu ditahan dalam rondaan bersepadu Op Pagar Laut, Op Iman dan OP Naga Barat pada 1.50 tengah hari dan 2.35 petang semalam.

Menurut beliau, kesemua 10 nelayan Vietnam termasuk tekong yang ditahan berumur 25 hingga 47 tahun.

“Semasa diperiksa, tiga kru bersembunyi di bilik enjin, disyaki tidak mempunyai dokumen pengenalan diri serta permit kerja yang sah.

“Bot tersebut juga didapati tidak mempunyai alat pengesan vesel penangkapan ikan iaitu Mobile Transceiver Unit (MTU) Jabatan Perikanan Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Rashidilhadi selain bot, turut dirampas ialah diesel kira-kira 4,000 liter dan peralatan menangkap ikan.

“Kesemua bot serta hasil rampasan bersama tekong dan kru dibawa ke Jeti Zon Maritim Kemaman untuk proses saringan Covid-19, sebelum kes diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

Dalam pada itu, katanya Maritim akan terus mempertingkatkan kawalan keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang maritim bagi memastikan kepatuhan undang-undang dan keselamatan pengguna maritim di perairan negara sentiasa terjaga. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here