Malaysia sapu bersih emas terjun

0
471

MALAYSIA mengesahkan penguasaan dalam sukan terjun bagi temasya Sukan SEA Hanoi kali ini selepas menyapu bersih kesemua lapan pingat emas yang dipertandingkan. 

Ini selepas gandingan ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong Pamg dan Nur Dhabitah Sabri mengungguli acara 10 meter platform wanita di Pusat Akuatik My Dinh, sebentar tadi. 

Pandelela dan Nur Dhabitah menampilkan aksi mengagumkan apabila jauh meninggalkan peserta lain. 

Pasangan terjun itu berjaya memperoleh 292.14 mata meninggalkan gandingan Singapura, Ong Rei En-Ong Sze En di tangga kedua dengan 225.42 mata selepas lima terjunan. 

Pingat gangsa pula dimenangi penerjun Vietnam, Bui Thi Hong Giang-Mai Hong Hanh yang mencatatkan 185.25 mata. 

Hanya 3 pasangan menyertai acara 10 meter platform wanita itu. 

Kemenangan itu juga merupakan emas kedua peribadi Nur Dhabitah dalam Sukan SEA Hanoi kali ini. 

Sebelum itu, kem terjun negara dihadiahkan dengan emas ketujuh yang juga kutipan kelapan keseluruhan buat kontinjen Malaysia menerusi Muhammad Syafiq Puteh dalam acara tiga meter papan anjal individu lelaki. 

Muhammad Syafiq, 27, meraih pingat emas selepas mengumpul 381.35 mata menewaskan rakan senegara, Gabriel Gilbert Daim yang memperoleh perak dengan 357.30 mata. 

Penerjun Thailand, Chawanwat Juntaphadawon pula terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa menerusi kutipan 340.35 mata. 

Sebagai rekod, Malaysia menyapu bersih pingat emas acara terjun sejak edisi di Myanmar pada 2013 diikuti Singapura 2015 dan Filipina pada tahun 2019. 

Skuad terjun hanya terlepas satu pingat emas semasa temasya Sukan SEA Kuala Lumpur pada 2017. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here