Warga emas tinggal kereta Perodua Kancil sebelum terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang

0
676

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

SEORANG warga emas meninggalkan kereta jenis Perodua Kancil di atas Jambatan Pulau Pinang sebelum dilaporkan terjatuh ke laut dalam kejadian awal pagi tadi.

Mangsa disyaki lelaki, Lau Choon Chye, berusia 66 tahun itu dipercayai berasal dari Paya Terubong, Air Hitam, Pulau Pinang.

Menurut Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed, pihaknya menerima panggilan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat berhubung kejadian individu dipercayai terjun Jambatan Pulau Pinang di Kilometer 4.0 arah Perai menghala ke pulau pukul 7.07 pagi tadi.

Jelasnya, maklumat kejadian disalurkan terus ke Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi untuk pengaktifan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT).

Dalam masa sama ujar beliau, bot PERKASA 1221 diatur gerak ke lokasi kejadian bagi melakukan pencarian.

Maritim mengarahkan bot PERKASA 1221 diatur gerak ke lokasi kejadian bagi melakukan pencarian

“Operasi CARILAMAT yang diaktifkan pukul 8 pagi tadi turut membabitkan Jabatan Bomba Dan Penyelamat; Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Pasukan Polis Marin Batu Uban,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) turut ditubuhkan di Jeti Polis Marin Batu Uban dan sehingga kini usaha pencarian masih diteruskan.

Tambahnya, kes individu terjun dari jambatan itu adalah yang keempat direkodkan untuk awal bulan Mei ini sahaja dan yang kelapan secara keseluruhan dari awal Januari lalu.

“Dalam pada itu, orang awam diminta melaporkan sebarang penemuan dan kejadian kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here