Sindiket curi kenderaan mewah tumpas, serbuan di 4 negeri

0
334

SATU sindiket curi berjaya ditumpaskan selepas polis menahan sembilan lelaki tempatan dalam serbuan berasingan di empat negeri sejak Disember tahun lalu hingga Isnin lalu.

Modus operandi sindiket itu adalah menukar identiti kenderaan curi berkenaan dengan mendapatkan maklumat berkaitan kenderaan dilupus atau kenderaan diisytihar ‘total loss’ (musnah sepenuhnya).

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, pihaknya menerima satu laporan berkaitan sebuah kenderaan mewah hilang di sebuah kawasan parkir sebuah pusat beli-belah di ibu negara pada Disember tahun lalu.

“Susulan itu, kita menjalankan siasatan yang membawa kepada penahanan sembilan lelaki berusia antara 30-an hingga 40-an.

“Kita merampas 26 kenderaan mewah membabitkan Toyota Vellfire, Mercedes, BMW, Ford Ranger dan Mazda yang dianggarkan bernilai RM3 juta,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini, lapor Sinar Harian.

Azmi berkata, sindiket berkenaan memperoleh maklumat menerusi satu laman sesawang insurans, kemudian digunakan bagi menggantikan identiti kenderaan curi sebelum ia didaftarkan dengan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Selepas identiti ditukar, setiap kenderaan itu akan dijual dan meraih keuntungan antara RM30,000 sehingga RM40,000 bagi setiap satu,” katanya.

Azmi berkata, pihaknya menerima 26 laporan berkaitan kehilangan kenderaan mewah di ibu negara sejak tahun lalu dan percaya ada lagi laporan yang berkait dengan sindiket berkenaan.

“Semakan dilakukan mendapati ada di antara suspek yang mempunyai rekod jenayah curi kenderaan.

“Dua daripada sembilan suspek berkenaan masih dalam tempoh reman untuk membantu siasatan,” katanya

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here