Dua lelaki cuba samun, pukul wanita guna kayu diburu

0
232

DUA dua lelaki yang cuba menyamun dan memukul seorang wanita warga asing menggunakan sebatang kayu sehingga menyebabkan kecederaan di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Kiaramas, Persiaran Dutamas di Kuala Lumpur, pukul 8.53 malam tadi, diburu polis.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, mangsa, 26, kemudian membuat laporan polis pada pukul 10.04 malam.

“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku lebih kurang jam 8.53 malam semasa mangsa sedang berjalan menuju ke pusat membeli belah Publika bersama seorang lagi rakan perempuannya yang juga merupakan seorang warganegara asing.

“Mangsa bertindak merakam aksi kedua-dua lelaki tersebut menggunakan telefon bimbit setelah menyedari perbuatan suspek yang sangat mencurigakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Sinar Harian.

Beliau berkata, setelah sampai ke hujung jalan, suspek kemudiannya berpatah balik untuk menghampiri mangsa dan secara tiba-tiba suspek yang membonceng cuba untuk merampas telefon bimbit milik mangsa tetapi gagal.

“Berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek menyebabkan suspek terbabit bertindak memukul belakang badan mangsa menggunakan dahan kayu sehingga menyebabkan kecederaan.

“Oleh kerana ketakutan, mangsa telah berlari ke arah hadapan SK Kiaramas untuk meminta bantuan dari pengawal keselamatan sekolah yang sedang bertugas ketika itu,”katanya.

Eng Lai berkata, kedua-dua suspek yang menaiki sebuah motosikal bernombor pendaftaran WB9352P itu dipercayai lelaki tempatan, terus beredar dari lokasi kejadian selepas pengawal keselamatan tersebut bertindak membantu mangsa.

Beliau berkata, pihak polis sedang giat mengesan kedua-dua suspek berkenaan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 393/323 Kanun Keseksaan kerana cubaan samun dan mendatangkan kecederaan.

“Pihak polis memohon kerjasama orang ramai sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkenaan identiti suspek untuk membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Nor Hafizullah Norahim di talian 017-2232031,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here