Pukul bekas isteri – artis direman 2 hari, dijangka dituduh esok

0
256

SEORANG artis lelaki yang juga penyanyi sebuah kumpulan terkenal tanah air, direman dua hari bagi membantu siasatan kerana disyaki memukul dan mencederakan bekas isterinya.

Perintah reman bermula semalam itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Hairol Azhar Mohd Ishak di Mahkamah Majistret, di Petaling Jaya, hari ini.

Peguam mewakili artis berusia 45 tahun yang ditahan semalam itu, Kailash Hsarma, berkata lelaki terbabit berkemungkinan akan dituduh di mahkamah, esok, mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 (A) Akta Keganasan Rumah Tangga 2017.

“Polis memohon reman selama empat hari, namun ia dikurangkan kepada hanya dua hari.

“Dia berkemungkinan besar akan dituduh di Mahkamah Petaling Jaya, esok,” katanya kepada pemberita di luar bilik reman, di Petaling Jaya, Selangor, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, anak guamnya itu berada dalam keadaan sihat, termasuk daripada segi emosi.

“Mengenai tuduhan itu, saya difahamkan dia turut membuat laporan polis, malah ada berpesan agar kesalahannya hanya boleh ditentukan oleh proses undang-undang,” katanya, memetik laporan Berita Harian.

Artis berkenaan ditahan polis, semalam, kerana disyaki memukul dan mencederakan bekas isterinya di sebuah kediaman di Kota Damansara, Selangor, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, dilaporkan berkata tangkapan itu dibuat selepas polis menerima aduan daripada bekas isteri suspek berusia 27 tahun.

Mohamad Fakhrudin berkata, pengadu mendakwa dia berada di kawasan parkir kediaman bekas suaminya di Kota Damansara, kira-kira jam 2.29 petang untuk mengambil anak lelaki daripada artis terbabit.

Bagaimanapun, katanya, berlaku perselisihan faham kerana pengadu dikatakan enggan bergambar dengan suspek, sehingga artis itu didakwa marah dan memukul badan wanita berkenaan menyebabkannya mengalami lebam serta anggota badan sakit.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here