Orang ramai jangan lantang ulas perbicaraan kes Bella di media sosial – Hakim

0
444

ORANG ramai diingatkan supaya tidak mengeluarkan komen keterlaluan di media sosial berkaitan perbicaraan kes pengabaian dan penderaan seorang remaja perempuan dikenali sebagai Bella, yang sedang berlangsung ketika ini.

Amaran itu dikeluarkan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Izralizam Sanusi selepas Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Zilfinaz Abbas memberitahu mahkamah bahawa orang ramai masih membuat hantaran berhubung kes tersebut di media sosial seperti ‘Justice for Bella’ dan ‘Justice for Bella macam mustahil di dunia ini’.

Peguam lantikan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Datuk Baljit Singh Sidhu membangkitkan perkara sama apabila memaklumkan kepada mahkamah, hantaran sedemikian turut melibatkan ‘officers of the court’.

Dalam prosiding pada Khamis, Izralizam berkata mahkamah akur bahawa rakyat di negara ini mempunyai hak kebebasan bersuara.

Namun katanya, orang ramai perlu ingat bahawa terdapat undang-undang yang berkuat kuasa dan ia boleh dikenakan terhadap mana-mana individu yang dikatakan mengeluarkan kenyataan melampau dalam penulisan, hantaran, komen dan sebagainya.

“Apa yang jelas, mahkamah perlu mengingatkan semua, kebebasan bersuara adalah tertakluk kepada undang-undang yang berkaitan termasuk kandungan, menghina mahkamah dan fitnah.

“Oleh itu mahkamah ingin memberi amaran dan ingatan kepada orang ramai terutamanya yang hadir di galeri awam supaya tidak membuat sebarang komen yang berbentuk fitnah, subjudis atau menghina mahkamah.

“Sekiranya berlaku perkara-perkara tersebut, DPP boleh mengambil tindakan yang sewajarnya dengan merujuk kepada individu-individu terbabit secara spesifik yang membuat hantaran yang jelas melanggar undang-undang yang menghina mahkamah atau subjudis,” katanya.

Tambahnya, komen-komen melampau sudah ada di media sosial, sedangkan keterangan saksi termasuk saksi kelima, Yasmin Nahar Mahmood yang tidak hadir pada hari ini kerana masalah kesihatan, masih belum selesai.

Menurut beliau, perbicaraan masih lagi berjalan dan tertuduh masih belum dibuktikan bersalah.

“Kita masih lagi jauh perjalanan untuk memanggil saksi-saksi selain SP5 (saksi pendakwaan kelima) yang masih dalam pemeriksaan balas.

“Simpan komen-komen yang berbentuk subjudis dan fitnah untuk diri sendiri. Jangan untuk dapat followers, untuk baca tetapi menjejaskan perjalanan kes ini,” tegasnya lagi.

Sementara itu, Izralizam berkata mahkamah mengambil maklum kenyataan Baljit Singh yang memberitahu perkara itu turut melibatkan ‘officers of the court’.

“Kita membuat kerja berdasarkan tanggungjawab masing-masing, DPP membawa kes ini untuk dituduh, peguam mempunyai tanggungjawab membela tetapi berada dalam ruang lingkup undang-undang yang sedia ada.

“Jangan overstep atau melebihi undang-undang. Peguam tertakluk kepada etika, DPP tertakluk kepada undang-undang, publik juga tertakluk kepada undang-undang,” katanya lagi.

Tambahnya, beliau percaya bahawa orang awam dan pengamal media boleh memainkan peranan penting untuk mengikuti kes ini berdasarkan undang-undang sedia ada dan tidak membuat komen yang boleh menggangu saksi.

Justeru beliau mengarahkan barisan pendakwaan untuk mengambil tindakan pendakwaan ke atas mana-mana individu secara spesifik dengan merujuk kepada kenyataan dikeluarkan.

Hadir sama pada prosiding hari ini, Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Ras Adiba selain empat peguam yang dilantik TMJ sebagai pemerhati.

Terdahulu, pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan berkenaan sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Pertuduhan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here