‘Dokumen sampah macam itu pun orang percaya ke?’ – Ahmad Samsuri

MB Terengganu enggan layan dokumen viral kononnya minit mesyuarat Perikatan Nasional untuk menjatuhkan BN

0
313

NAIB Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar hari ini menafikan wujudnya pakatan pemimpin tertinggi PAS bersama parti lain untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN) sebagaimana tercatat dalam beberapa dokumen yang tular di media sosial sejak Ahad lepas.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu menyifatkan dokumen yang ditularkan itu sebagai ‘sampah’ dan tidak perlu dipercayai kerana dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.

“Dokumen sampah macam itu pun orang percaya juga ke? Ia tidak benar, tidak tahu dari mana datangnya.  Ejaan nama saya pun tak betul. Dia (pihak tidak bertanggungjawab itu) tahu ada pertemuan itu maka dibuatlah naratif (seperti yang tular),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyerahan bantuan persediaan dan pendahuluan diri penerima biasiswa Skim Pelajar Cemerlang Yayasan Terengganu Ke Luar Negara 2022 di Kuala Terengganu, ari ini.

Ahad lepas, beberapa dokumen yang dikatakan minit mesyuarat Perikatan Nasional (PN) tular di media sosial, didakwa berkaitan dengan pertemuan antara Ahmad Samsuri bersama Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan serta beberapa pemimpin parti lain pada 24 dan 27 Mac serta 4 dan 7 April.

Antara pemimpin yang dinyatakan dalam minit itu ialah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Pengerusi Parti Pejuang Tun Dr Mahathir Mohamad, Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Bendahari Agung BN Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri mengakui pertemuan bersama pemimpin politik itu benar-benar berlangsung, namun ia tidak membincangkan perkara seperti yang tular.

Ditanya sama ada beliau mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak terlibat, Ahmad Samsuri menegaskan tidak akan berbuat demikian kerana beliau menganggap proses itu membuang masa, selain tidak diketahui siapakah yang menyebarkan mesej berkenaan. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here