Polis bongkar bangunan pejabat dijadikan ‘mini kasino’

0
183

SINDIKET judi kini menggunakan modus operandi baharu apabila menyewa ruang pejabat di bangunan bertingkat untuk dijadikan ‘mini kasino’.

Bagaimanapun taktik tersebut terbaru itu dibongkar Bukit Aman susulan operasi dijalankan Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) di Subang Jaya, awal pagi kelmarin.

Ketua Penolong Pengarah D7 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, sindiket berkenaan didapati menyewa ruangan terbabit dengan harga RM4,000 sebulan.

Menurutnya, hasil siasatan awal, sindiket sudah membayar sewa selama setahun kepada pemiliknya untuk menduduki premis berkenaan.

“Ini adalah modus operandi terbaharu sindiket perjudian yang kita berjaya bongkar. Kita tidak menolak kemungkinan ada lagi kumpulan lain menggunakan taktik sama bagi mengaburi mata polis.

“Operasi mereka juga ketat kerana hanya individu tertentu dibenarkan masuk dan bermain di dalam premis itu namun kami berjaya membuat serbuan hasil penyamaran,” katanya pada sidang media di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Kuala Lumpur, hari ini, lapor Harian Metro.

Mohamad Noor berkata, dalam serbuan itu, seramai 16 kaki judi berusia 20 hingga 40 tahun termasuk seorang wanita ditahan di lokasi terbabit.

“Siasatan mendapati sindiket akan beroperasi selama 24 jam sehari namun hanya dibuka sekitar empat ke lima hari dalam seminggu.

“Berdasarkan siasatan juga, sindiket ini mengaut keuntungan sekitar RM3,000 hingga RM5,000 sehari,” katanya.

Katanya, semua suspek yang ditahan kini reman untuk siasatan lanjut mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Pemilik premis dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan memeriksa perniagaan yang dijalankan penyewa bagi mengelakkan risiko didakwa kerana bersekongkol,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here