Pemandu Singapura buat hal lagi, kali ini ‘curi’ elektrik pula

0
236

SEBELUM ini kecoh tentang isu pemandu kenderaan dengan nombor pendaftaran Singapura mengisi minyak petrol RON95 yang disubsidi oleh kerajaan di negara ini, walhal mereka tidak sepatutnya berbuat demikian.

Kini, timbul pula isu kenderaan elektrik (EV) didakwa dari negara itu mencuri bekalan elektrik yang dijual di stesen Shell Recharge di Tangkak.

Memetik laporan portal paultan.org, sebuah van yang dijana kuasa elektrik jenis BYD T3 dilihat menggunakan pengecas pantas arus langsung (DC) Shell Recharge di lokasi tersebut.

Walau bagaimanapun, tidak dinyatakan bila kejadian itu berlaku.

Untuk makluman, pengguna EV perlu membayar untuk mendapatkan elektrik yang dibekalkan melalui stesen pengecas Shell Recharge.

Pemandu terbabit dilihat meletakkan van dipandunya secara menyenget kerana terdapat penghadang yang hanya boleh diturunkan setelah pembayaran dibuat melalui aplikasi ParkEasy.

Namun, pengecas DC boleh digunakan tanpa proses pengesahan sekali gus membolehkan pemandu BYD dengan nombor plat Singapura itu ‘mencuri’ elektrik tanpa membayar walau satu sen pun.

Bagi pilihan bayar setiap kali guna, caj yang dikenakan adalah yuran pengesahan sebanyak RM4 dan RM20 bagi setiap lima minit dalam 25 minit pertama tempoh mengecas, diikuti RM20 bagi setiap blok lima minit berikutnya.

Bayaran adalah berdasarkan tempoh kenderaan diletakkan dalam petak parkir, tanpa mengira jumlah kW/jam yang dicas ke dalam EV.

Paultan.org menasihatkan orang ramai agar jangan melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

“Sikap buruk daripada pemilik EV (tanpa mengira mereka dari negara mana) akan menyebabkan syarikat-syarikat swasta enggan melabur dalam infrastruktur pengecasan EV di negara ini yang kita perlukan bagi meningkatkan penggunaan EV di Malaysia,” jelasnya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here