Peniaga maut, isteri parah dirempuh MPV dipenuhi ketum

0
265

Oleh RIZQI ZABIDI

SEORANG lelaki maut manakala isterinya cedera parah setelah kereta Proton Iswara dinaiki mereka, dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), Nissan Grand Livina dipenuhi daun ketum di Kampung Padang Gelanggang, Ayer Hitam dekat Kubang Pasu, Kedah awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supritendan Rodzi Abu Hassan berkata, kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu menyebabkan mangsa, Ahmad Sofberi Sharif, 38, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala isterinya, Hananie Hassim, 28, cedera parah di kepala dan kaki.

Selain itu katanya, individu lelaki berusia 29 tahun yang memandu Nissan Grand Livina itu juga turut parah setelah mengalami kecederaan di kepala, badan dan kaki.

“Siasatan awal mendapati MPV tersebut yang sarat dengan muatan ketum seberat kira-kira 500 kilogram, dalam perjalanan dari Alor Setar ke Kangar, Perlis manakala Proton Iswara dinaiki pasangan suami isteri itu pula dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Pida 8, Sanglang setelah selesai berniaga.

“Setibanya di lokasi kejadian, MPV tersebut didakwa cuba memotong lori dan masuk ke laluan bertentangan menyebabkannya bertembung dengan kereta Proton Iswara dinaiki pasangan suami isteri tersebut,” katanya.

Akibat pelanggaran itu katanya, pasangan suami isteri tersebut tersepit dalam kenderaan berkenaan dengan khidmat bomba diperlukan untuk mengeluarkan mereka.

Tambahnya, pihaknya setakat ini masih menyiasat mengenai kewujudan ketum dalam MPV tersebut orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu, diminta tampil membantu siasatan.

Menurutnya, kes tersebut setakat ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dengan mayat mangsa turut dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Jitra untuk dibedah siasat. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here