Indonesia tamat misi mencari penyelam remaja hilang

0
218

Oleh RAHIMI MOHAMAD

SETELAH hampir dua minggu hilang dan tidak dapat dikesan pihak berkuasa Malaysia dan Indonesia, operasi mencari penyelam remaja warga Belanda, Nathan Renze Chesters, 14, ditamatkan berkuat kuasa petang semalam.

Nathan yang sebelum ini hilang bersama tiga penyelam Eropah lain termasuk bapanya, Adrian Peter Chesters, 46, dipercayai hanyut ke perairan Indonesia selepas beberapa hari berada di perairan Mersing.

Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas) Indonesia yang mengambil alih tugas mencari berkenaan daripada pihak berkuasa memaklumkan, tiada sebarang petunjuk atau penemuan mangsa sepanjang tujuh hari operasi.

Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata, Pusat Operasi Basarnas Tanjung Pinang mengumumkan penutupan operasi yang bermula pada 10 April lalu di sektor perairan Indonesia.

“Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) juga memaklumkan kepada pihak kedutaan Britain dan Belanda mengenai laporan tamat Op Carilamat yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa Indonesia itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nathan sebelum ini disahkan sudah meninggal dunia oleh bapanya yang diselamatkan nelayan dipercayai akibat terlalu lemah dan tidak dapat bertahan setelah beberapa hari berada di lautan.

Empat penyelam tersebut sebelum ini hilang ketika menyelam bagi mendapatkan lesen Advance Open Water dan tidak timbul semula ke permukaan selepas satu jam melakukan aktiviti berkenaan berhampiran Pulau Tokong Sanggol pada 6 April lalu.

Kawasan operasi mencari dan menyelamat remaja berkenaan yang hilang sehingga kini

Bagaimanapun, jurulatih selam, Kristine Grodem, 35, warga Norway ditemukan kira-kira 30 batu nautika dari lokasi terakhir oleh bot tunda yang dalam perjalanan dari Indonesia ke Thailand, pada pukul 8.15 pagi keesokan harinya.

Manakala, Adrian dan seorang lagi penyelam warga Perancis, Alexia Alexandra Mollina, 18, diselamatkan nelayan Indonesia yang sedang menangkap ikan berhampiran Pulau Bintan, Indonesia pada 9 April lalu.

Sementara itu, Khairul Nizam berkata, Op Carilamat yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa negara itu melibatkan sebuah kapal milik Tentera Nasional Indonesia, Badan Keamanan Laut Indonesia, Polis Perairan Indonesia dan sebuah kapal Basarnas.

Beliau berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru merakamkan penghargaan dan terima kasih di atas kerjasama semua pihak yang terlibat sepanjang operasi tersebut.

“Diharapkan kerjasama dalam kalangan jabatan dan agensi terlibat terus diperkukuh agar keselamatan dan kesejahteraan komuniti maritim di perairan negara kekal terjamin,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here