Muhyiddin calon PM ke-10 jika Bersatu menang PRU-15

0
287

SEKIRANYA Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diberikan mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) kelak, Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan dicadangkan sebagai calon Perdana Menteri ke-10.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (AMPT) BERSATU, Datuk Razali Idris, berkata bekas Perdana Menteri kelapan itu merupakan calon paling layak untuk menyandang semula jawatan berkenaan.

Katanya, Muhyiddin telah menonjolkan kemampuan beliau untuk mentadbir negara ketika memegang jawatan Perdana Menteri selama lebih 17 bulan bermula 29 Februari dua tahun lalu.

“BERSATU akan mencadangkan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri pada PRU akan datang kerana beliau meletakkan jawatannya bukannya ditolak rakyat, sebaliknya ditolak oleh 15 ahli parlimen terutama daripada Barisan Nasional (BN) diketuai Datuk Seri Dr Zahid Hamidi.

“Muhyiddin akan dicadang sebagai calon Perdana Menteri kerana beliau adalah Presiden parti berbanding UMNO yang hanya mencadangkan Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,” katanya pada media selepas program moreh bersama media, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Ketengah Holdings Sdn Bhd (KHSB), Mohd Zaid Sulaiman dan Timbalan Pengurus Besar Ketengah (Operasi), Ahmad Fakharuddin Ahmad.

Razali yang merupakan Ketua Badan Pimpinan Bersatu berkata demikian ketika mengulas keputusa Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mencadang Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri pada PRU akan datang.

Katanya, walaupun semua parti boleh mencadangkan pimpinan tertinggi sebagai calon Perdana Menteri, keputusan UMNO itu disifatkan janggal apabila hanya mencadangkan pemimpin yang berada di kedudukan ketiga di dalam parti,

“Rakyat kehairanan, mengapa pemimpin yang berjawatan nombor tiga dicadangkan, ke manakah perginya dan adakah pemimpin berjawatan nombor satu dan dua dalam parti itu tidak berkelayakan untuk dicalonkan,” katanya.

Bagaimanpun, mengulas mengenai sokongan kepada Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri, Razali menegaskan Bersatu termasuk semua parti di dalam Perikatan Nasional (PN) teguh dengan pendirian bagi memberi sokongan kepada Perdana Menteri hingga Parlimen dibubarkan.

Katanya, semua pimpinan tertinggi parti dalam PN tidak bercadang untuk tumbangkan kerajaan pimpinan Ismail Sabri seperti dilakukan 15 ahli parlimen BN ketika menjatuhkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri Ogos lalu.

“Kita dan pemimpin parti dalam PN termasuk PAS akan terus memberi sokongan kepada Ismail Sabri sehinggalah beliau membubarkan Parlimen bagi membolehkan PRU diadakan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here