Dua lori kantoi bawa diesel subsidi RM176,539

0
196

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

CUBAAN dua lelaki cuba membawa muatan 5,167 liter diesel bernilai RM176,539 tanpa permit sah di dua buah stesen minyak berasingan di Skudai, Johor Bahru, Johor, awal pagi ini gagal.

Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua menahan kedua-dua lelaki warga tempatan itu yang berusia 28 dan 56 tahun pada pukul 2.30 pagi dan 2.45 pagi.

Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Muhd. Zailani Abdullah berkata, serbuan berkenaan dijalankan selepas pihaknya mendapat maklumat berkenaan penyelewengan diesel di kawasan berkenaan.

“Sewaktu serbuan dijalankan, kedua-dua lelaki tersebut sedang mengisi diesel ke dalam tangki yang telah diubah suai di bahagian belakang lori tersebut.

PPM menahan sebuah lori yang sedang melakukan pemindahan diesel tanpa permit yang sah di sebuah stesen minyak di Skudai

“Pemeriksaan lanjut mendapati suspek gagal menunjukkan sebarang dokumen kebenaran yang sah untuk membawa barang kawalan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kedua-dua suspek beserta barangan rampasan kemudiannya dibawa ke Markas (PPM) Wilayah Dua untuk tindakan lanjut.

“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM176,539 manakala kes akan disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Sehubungan itu, saya turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang kegiatan jenayah agar menyalurkan kepada pihak berkuasa terutamanya PPM Wilayah Dua ditalian 07-2372221 atau 07-2372222,” ujarnya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here