Tiga ‘Geng Kitty’ edar dadah ditahan polis

0
207

KEGIATAN pengedaran dadah didalangi ‘Geng Kitty’ lumpuh selepas polis menahan tiga anggota kumpulan itu termasuk seorang wanita di Batu 3, Paya Pulai, Temerloh, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri, Superintendan Azmi Awang Lah berkata, suspek berkenaan berusia 23 hingga 39 tahun itu ditahan pada pukul 10.20 malam.

“Polis turut menemui dan merampas dadah dianggarkan bernilai lebih RM18,000 dalam kereta yang dinaiki mereka.

“Hasil pemeriksaan ke atas kereta dinaiki suspek, polis menemui tiga bungkusan plastik berisi dadah disyaki heroin dengan anggaran berat 1,552.43 gram dan erimin 5 (16.43 gram).

“Hasil siasatan mendapati, seorang suspek berperanan sebagai pengedar manakala dua lagi sebagai pemandu dan penyimpan bekalan dadah.

“Sindiket ini dipercayai memperoleh bekalan dadah heroin dan erimin 5 daripada pembekal di Puchong, Selangor untuk diedarkan kepada penagih sekitar Temerloh,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

Azmi berkata, dadah heroin yang dirampas dipercayai mampu untuk dibekalkan kepada 3,105 penagih sehari mengambil kira penggunaan harian 0.5 gram.

“Hasil ujian saringan air kencing ke atas suspek mendapati semuanya positif dadah jenis methamphetamine dan dua daripada mereka memiliki rekod jenayah lampau berkait dadah.

“Ketiga-tiga suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 10 April ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Tambah beliau, kes itu turut disiasat di bawah Seksyen 39A(1) akta sama.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here