Debat Sapura sandiwara politikus ‘luput tarikh’ jual diri

0
311

Oleh Saladin Hasan Salleh

SEJAK beberapa hari lalu, nama Najib Razak dan Anwar Ibrahim cukup laris disebut media dan rakyat Malaysia berikutan episod cabar mencabar untuk berdebat dalam isu berkaitan Sapura Energy.

Setakat ini, dua akhbar harian, satu stesen televisyen swasta dan satu portal berita berebut untuk menjadi penganjur selepas Anwar dan Najib saling menyambut cabaran debat.

Keghairahan syarikat media itu tidak pelik kerana mereka cekap menghidu peluang untuk menaikkan rating melalui penganjuran debat yang pastinya ditunggu-tunggu sebahagian besar rakyat.

Ia ditunggu bukanlah kerana mereka berminat sangat dengan topik yang didebatkan tetapi kerana acara itu dianggap sebagai salah satu bentuk hiburan sebagaimana pertikaman lidah ahli-ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Seperti syarikat media, Najib dan Anwar juga cekap menghidu peluang untuk mempergunakan sesi debat itu bagi melonjakkan semula rating mereka yang sudah merudum sekaligus memulihkan masalah defisit kepercayaan.

Di mata penyokong totok masing-masing, lagak Najib dan Anwar mungkin dianggap benar-benar anak jantan apabila pantas menyahut cabaran debat.

Walhal, senarionya seperti orang mengantuk disorongkan bantal kerana mereka sangat memerlukan publisiti sedemikian, lebih-lebih lagi jika disiarkan secara langsung melalui televisyen.

Najib yang sudah dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun oleh dua mahkamah dilihat sangat terdesak untuk menonjol dan memulihkan imej dirinya secara menyeluruh.

Sudah banyak tahun, Najib bergantung kepada publisiti melalui platform dalam talian semata-mata. Berita-berita yang boleh memberi imej positif kepada Najib pula bagaikan sudah digelapkan oleh media-media arus perdana.

Kata-kata Najib sudah tidak laku dan beliau hanya mempunyai nilai berita di mata media arus perdana apabila melibatkan perbicaraan kesnya di mahkamah yang biasanya bersifat negatif.

Kerana itu Najib mahu debat berkenaan disiarkan secara langsung melalui televisyen.

Beliau mahu penampilannya dilihat oleh segenap lapisan masyarakat, bukannya terhad kepada pengguna internet sahaja.

Faktor-faktor inilah yang mendorong Najib menyahut cabaran debat, sedangkan sewaktu bergelar perdana menteri, beliau mengelak untuk terlibat dalam debat berkaitan 1MDB dengan alasan debat bukanlah budaya politik kita.

Begitu juga Anwar yang mempergunakan debat itu untuk membentuk persepsi yang beliau masih relevan dan penting dalam percaturan politik negara.

Sudah tentu beliau akan menggunakan kemahiran debat dan pidatonya untuk mengetengahkan gagasan idea bersulamkan perkataan bombastik untuk memukau khalayak.

Publisiti melalui debat itu amat diperlukan Anwar sewaktu pengaruhnya semakin merosot sehinggakan PKR dan PH mengalami kekalahan memalukan dalam tiga pilihan raya negeri (PRN).

Turut menjadi kerisauan Anwar ialah kenyataan terbaru Setiausaha Agung DAP Anthony Loke yang membayangkan perubahan bakal berlaku dalam pendekatan PH bagi berdepan pilihan raya umum (PRU) akan datang termasuk kemungkinan berhenti daripada mencalonkan Anwar sebagai perdana menteri.

Lantaran itu, Anwar perlu memanfaatkan apa sahaja peluang untuk menaikkan semula namanya walaupun topik debat dengan Najib itu bukanlah berkaitan isu rakyat marhaen yang sentiasa disinonimkan dengannya selama ini.

Sebagai rakyat, anggaplah debat yang bakal berlangsung kelak sebagai hiburan semata-mata dan janganlah taksub memuji hujah yang dikemukakan mereka berdua.

Ini kerana di atas pentas debat itu ialah dua ahli politik yang sudah luput tarikh dan sangat terdesak untuk mempertahankan kepentingan peribadi sewaktu tembelang mereka semakin terburai.

Saladin Hasan Salleh adalah pembaca MalaysiaNow.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SatuBerita.

Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri. SatuBerita menghargai pendapat anda. Hantar pendapat anda ke emel, [email protected]

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here