Lelaki ditahan ugut, cederakan wanita semasa kemalangan

0
376

BAHAGIAN siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes melakukan ugutan jenayah dan mendatangkan kecederaan terhadap seorang wanita.

Suspek, 30-an, ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Miri semalam selepas menerima laporan polis daripada mangsa yang dibuat di Balai Polis Pusat Miri pukul 2.30 petang.

Sebelum itu, suspek dan mangsa terbabit kemalangan jalan raya di persimpangan lampu isyarat berhampiran Emart Tudan pukul 10 malam Rabu.

Suspek dikatakan meluahkan rasa tidak puas hati akibat kemalangan itu dan dipercayai telah menampar serta mengugut mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Hakemal Hawari ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek terbabit.

“Polis menyiasat kes tersebut mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera dan Seksyen 506 kanun yang sama kerana menakutkan secara jenayah,” katanya memetik laporan Utusan Borneo, hari ini.

Dalam pada itu, Hakemal menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri dan segera membuat laporan polis sekiranya berlaku kejadian seperti ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here