[VIDEO] Adakah Ismail Sabri akan terima ‘tekanan’  seperti Muhyiddin?

0
541

PERTEMUAN sekumpulan menteri dan timbalan menteri daripada UMNO di sebuah hotel di Putrajaya hari ini menarik perhatian.

Mungkin mereka sekadar bertemu untuk sarapan pagi bersama sebelum menghadiri mesyuarat Kabinet atau mungkinkah ia ada kaitan dengan ‘kekalahan’ kepada pembangkang dalam undian di Dewan Rakyat berhubung usul Sosma pada Rabu lalu.

Walaupun semalam dalam satu lagi undian, kerajaan berjaya mendapat sokongan majoriti dua pertiga termasuk daripada pembangkang tetapi kegagalan pada Rabu lalu ternyata memberi kesan kepada ahli-ahli Parlimen kerajaan khususnya daripada UMNO.

Beberapa pemimpin kanan UMNO yang tiada jawatan dalam kerajaan bingkas bersuara lantang bagi melaksanakan agenda mereka yang mahukan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan segera.

Seperti biasa hujah diberikan ia selaras dengan kehendak Perhimpunan Agung UMNO.

Ia semakin ‘mengerikan’ apabila ada menteri UMNO turut bersuara dengan melihat PRU-15 satu-satu jalan bagi mengelakkan ‘kekalahan’ di Dewan Rakyat berulang.

Tetapi pada masa sama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terus tenang.

Beliau mengadakan pertemuan dengan tiga pemimpin pembangkang dan bersetuju mengadakan sidang khas Parlimen bagi membolehkan Rang Undang-undang Antilompat dibentangkan pada 11 April ini.

Tetapi persoalannya adakah kelompok pemimpin UMNO yang mahukan PRU-15 diadakan dan mendesak Ismail Sabri membatalkan MoU dengan pembangkang akan duduk diam?

Sudah pasti mereka tidak akan berbuat demikian, sebaliknya kemungkinan banyak manuver lagi yang akan dilakukan sehingga ia boleh memberikan tekanan kepada Ismail Sabri. Tidak mustahil tekanan seperti mana dialami oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sehingga memaksa Ahli Parlimen Pagoh itu meletakkan jawatan akan dilalui oleh Ismail Sabri.

Faktanya, semua orang tahu siapa berkuasa dan berpengaruh dalam UMNO. Mereka yang berada dalam Kabinet pun tidak ada kekuatan seperti mana dimiliki oleh pemimpin-pemimpin seperti Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid dan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Oleh itu mahu tidak mahu, mereka terpaksa mengikut apa juga langkah politik yang akan dilakukan oleh kepemimpinan parti itu. Cumanya apa yang menjadi persoalan, apa pula yang akan dilakukan oleh Ismail Sabri bagi mengelakkan beliau menerima nasib seperti Muhyiddin?

Apakah akan berlaku jika sebahagian ahli-ahli Parlimen UMNO menarik sokongan kepada beliau sebagai Perdana Menteri?

Mungkin ia nampak aneh tetapi dalam kitaran politik UMNO tidak ada yang mustahil … kalau dua negeri yang mereka ketuai pun ‘diruntuhkan’ bagi memberi laluan kepada PRN dan sekaligus membolehkan mereka menang besar, tak kanlah agenda untuk mengadakan PRU-15 tidak boleh dilakukan.

Tambahan pula Ismail Sabri sendiri sama ada betul atau tidak ada cakap-cakap beliau tidak mempunyai kekuatan di bahagian-bahagian UMNO berbanding Najib dan Ahmad Zahid walaupun memegang jawatan Perdana Menteri.

Tetapi itu hanya cakap-cakap … belum tentu betul … kalau beliau tidak ada kekuatan mana mungkin beliau mampu menjadi Naib Presiden nombor satu.

Lagipun, sejak menjadi Timbalan Perdana Menteri, rakyat dan akar umbi UMNO selesa dengan gaya kepemimpinan beliau. Dan biarpun baru menjadi Perdana Menteri dasar-dasar yang diperkenalkan melalui konsep keluarga Malaysia menambat jiwa banyak pihak.

Seperkara lagi, Ismail Sabri masih boleh mempertahankan kedudukan buat sementara jika beliau mendapat sokongan padu blok pembangkang sekurang-kurangnya sehingga MoU tamat pada Julai ini.

Tetapi masih juga ada persoalan, adakah ahli-ahli Parlimen UMNO akan membenarkannya. Ketika ini mereka sudahpun bercakap soal MoU terbatal dan perlu dibatalkan berikutan apa yang berlaku pada Rabu lalu.

Kini terserah kepada Ismail Sabri bagaimana beliau mahu menangani tekanan yang bukan datang daripada pembangkang tetapi dari parti sendiri. Penulis percaya beliau pun ada ‘seni politiknya’, cuma tidak diketahui sejauh mana ia mampu melawan ‘pengaruh-pengaruh’ hebat dalam UMNO.

Apapun kita tunggu apa yang akan berlaku seterusnya adegan politik yang sejak setahun lalu tidak habis-habis dicetuskan oleh pemimpin-pemimpin UMNO.

Bermula dengan bergabung dengan Muhyiddin menubuhkan kerajaan, kemudian ‘menjatuhkan’ Muhyiddin, dibubarnya pula dua DUN untuk PRN dan kini mencari alasan bagi membolehkan PRU-15 yang sepatutnya diadakan selewat-lewatnya pada Mei tahun depan diadakan segera atas alasan kestabilan dan mewujudkan sebuah kerajaan stabil.

Oleh ZULKIFLEE BAKAR

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SatuBerita.

Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri. SatuBerita menghargai pendapat anda. Hantar pendapat anda ke emel, [email protected]

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here