MoU sudah terbatal, bersedia untuk PRU-15 – Annuar

0
239

MEMORANDUM Persefahaman (MoU) antara pihak Pembangkang dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sudah terbatal, dakwa Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Menerusi hantaran di Facebook beliau pada Rabu, Annuar telah memetik Perkara 3.3 (b) MoU berkenaan, yang menyebut bahawa pihak Pakatan Harapan (PH) bersetuju akan mengambil pendirian menyokong atau berkecuali terhadap apa-apa usul yang dikemukakan oleh kerajaan.

Bagaimanapun kata Annuar, pihak PH telah melanggar MoU itu dengan meminta undi belah bagi terhadap usul yang dibawa oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin secara mengejut, di mana pihak PH telah menolak usul berkenaan.

“Pada hemat saya, dengan tindakan itu, maka terbatal sudah MOU berkenaan.

“Dan ini satu ‘blessing in disguise’ kerana YAB PM kini bebas untuk membatal atau menggantung pelaksanaan MOU tersebut,” katanya dalam hantaran berkenaan.

Tangkap layar hantaran di akaun Facebook rasmi milik Tan Sri Annuar Musa, pada Rabu.

Annuar menambah, dengan terbatalnya MoU itu, ia akan memudahkan tanggungjawab Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri bagi melaksanakan mandat Perhimpunan Agong Umno (PAU) 2021 terutama berkaitan pembubaran Parlimen.

“Ianya juga membolehkan kita segerakan PRU, selari dengan keputusan PAU tempoh hari. Gantung MoU! Jom!… Kita buat persiapan dan bersedia untuk PRU 15,” ujarnya lagi.

Terdahulu, usul Menteri Dalam Negeri untuk melanjutkan tempoh pelaksanaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 bagi tempoh lima tahun lagi, gagal melepasi undi belah bahagi, hari ini.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun yang mengumumkan keputusan itu berkata, seramai 84 Ahli Parlimen bersetuju dengan usul tersebut, manakala 86 orang tidak bersetuju dan seramai 50 orang lagi gagal menghadirkan diri.—SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here