Kalah dua PRN berturut-turut: Gerakan kekal setia dengan PN

0
422

PARTI Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) tidak akan meninggalkan Perikatan Nasional (PN) meskipun gabungan itu tewas pada pilihan raya negeri (PRN) Johor Sabtu lalu.

Malah, Timbalan Presidennya, Oh Tong Keong berkata, keputusan Gerakan untuk tetap setiap dan bersama PN itu juga tidak berubah sewaktu gabungan tersebut turut tewas pada PRN Melaka, November lalu.

“Parti Gerakan akan tetap bersama dan terus setia dengan PN.

“Pihak kepimpinan Parti Gerakan akan berbincang dan mengkaji semula strategi baharu yang bakal digunakan untuk PRU-15 supaya mendapat sokongan daripada pengundi dan kepercayaan penyokong kami,” katanya.

Pada PRN Johor Sabtu lalu, kesemua tujuh calon Gerakan yang bertanding di bawah logo PN tewas sekali gus mengulangi kegagalan sama lima calon mereka ketika PRN Melaka, November lalu.

Dalam masa sama ujar beliau yang juga Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, pihaknya menghormati pilihan dan keputusan yang dibuat rakyat Johor pada PRN itu yang menyaksikan PN hanya memenangi tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Namun, kita akan mengkaji sebab-sebab yang menyebabkan keputusan yang kita dapat di PRN Johor.

“Kita dapat melihat misalnya pengundi di DUN Yong Peng khususnya golongan Melayu, mereka inginkan kestabilan politik.

“Dalam hal ini, rakyat bukan sahaja menolak rasuah, tetapi juga mahukan pembangunan dan kelestarian di Johor kerana dengan adanya kestabilan politik, baru ekonomi negeri Johor boleh membangun,” katanya.

Menyentuh situasi di Pulau Pinang, Tong Keong berkata, pihaknya sentiasa mengambil pendekatan mengutamakan kepentingan dan hak rakyat.

“Keadaan politik sentiasa berubah dan sekiranya Gerakan dapat melancarkan rancangan yang lebih memanfaatkan penduduk, membantu meningkatkan ekonomi masyarakat dan negeri, maka tidak mustahil sokongan di Pulau Pinang akan beralih kepada kita,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here