Kurang perpaduan, tidak guna logo sama punca PH gagal dalam PRN Johor

0
422

SETIAUSAHA Agung DAP, Lim Guan Eng berpendapat, kurangnya perpaduan dalam blok pembangkang yang disebabkan tidak menggunakan logo sama antara faktor kegagalan pembangkang untuk meraih undi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau berkata, ini termasuk visi bersama-sama atau sebarang perbincangan calon Menteri Besar dan pecahan sokongan sesama parti-parti pembangkang juga menjadi faktor kekalahan.

Jelasnya, ini jelas kelihatan terutamanya bagi Parti Warisan (Warisan) yang bertanding di enam kerusi yang juga ditandingi PH, parti itu lebih banyak berkempen untuk mengalahkan PH berbanding Barisan Nasional (BN).

“Tidak ada gunanya menyalahkan kekalahan PH ke atas peratusan keluar mengundi yang lebih rendah sebagai penafian diri untuk menutup keengganan berterusan untuk memahami atau enggan menangani punca utama kekalahan.

“Hanya dengan memahami dan menangani punca utama kekalahan barulah kita boleh mengelak kehilangan semua kerusi kita dan menawarkan harapan kebangkitan dan kemenangan pada pilihan raya umum akan datang,” katanya memetik laporan Astro Awani, hari ini.

Justeru Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan itu berkata, terdapat keperluan mendesak untuk berfikir sebagai satu pakatan dan tidak sekadar tertumpu semata-mata pada yang kepentingan sempit parti sendiri.

Katanya, sikap tidak mahu menerima kenyataan dengan tidak mengakui kelemahan dan kegagalan komunikasi tidak akan membantu untuk memenangi pilihan raya umum akan datang.

“DAP menolak alasan bahawa gelombang baharu jangkitan Covid-19 adalah satu-satunya punca peratusan keluar mengundi yang rendah pada PRN Johor baru-baru ini.

“Malah, pusat mengundi adalah lebih selamat daripada pasar dan kedai kopi di mana tempat orang ramai bergaul. Kluster jangkitan Covid-19 bagi mereka yang mengundi dan pekerja yang terlibat dalam kerja pengundian adalah tidak ketara berbanding kawasan awam seperti pasar dan kedai kopi, di mana calon sendiri telah dijangkiti COVID-19 semasa berkempen di sana,” ujarnya lagi.

Dakwanya, walaupun BN telah bermain kotor dengan memastikan perlawanan yang tidak adil dengan penyalahgunaan jentera kerajaan, media dan mengamalkan politik wang, parti pembangkang perlu menghadapi realiti pahit bahawa mereka juga perlu memikul sedikit tanggungjawab atas kekalahan mereka.

Kata Guan Eng, DAP tidak boleh melakukannya secara bersendirian dan memerlukan PH untuk bersama-sama menangani isu-isu ini.

“Hanya dengan berkongsi kemenangan kita sebagai satu pakatan, kita boleh menang lebih banyak,” tambahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here