Khairuddin umum keluar PAS

0
423

AHLI Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mengumumkan keluar daripada PAS berkuat kuasa hari ini. 

Beliau yang juga Pengerusi Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) berkata surat permohonan berhenti menjadi ahli PAS itu dihantar kepada Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Bangunan Parlimen, kira-kira 2.30 petang.

Jelasnya, tindakan beliau adalah selari dengan Perlembagaan PAS Fasal 15 (1) (a) iaitu keberhentian ahli dengan permintaan sendiri, dan Fasal 15 (2) yang mana seseorang ahli bolehlah memaklumkan keberhentiannya daripada menjadi ahli dengan bersurat kepada Setiausaha Agung.

“Sukar untuk dijawab, saya sayangkan PAS, saya kekal PAS, cuma bukan ahli berorganisasi. Agak berat untuk saya berhenti daripada PAS.

“Tapi itu peruntukan perlembagaan yang ada, memohon berhenti dengan sendiri, itu dalam perlembagaan,” katanya ringkas pada sidang media di sini ketika ditanya berhubung alasan beliau bertindak demikian. 

Susulan tindakannya itu, beliau berkata akan menjadi Ahli Parlimen Bebas selepas ini. 

Mohd Khairuddin berkata, beliau akan menyerahkan semua elaun bulanan sebagai Ahli Parlimen pada waktu berbaki sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kepada PAS sebagai memenuhi Bai’ah ketika bertanding pilihan raya. 

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada PAS atas peluang dan kepercayaan untuk dicalonkan sebagai Ahli Parlimen Kuala Nerus sejak 2013 dan berpeluang menimba pengalaman sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dari Mac 2020 hingga Ogos lepas. 

“Saya juga menyeru semua ahli PAS untuk terus istiqamah dengan perjuangan PAS dan terus memperjuangkan Islam menerusi wadah PAS,” katanya. 

Mohd Khairuddin menjadi ahli PAS selama 33 tahun sejak 1989 dan pernah memegang pelbagai jawatan kepimpinan sejak 1999 dan terakhir sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS. – BERNAMA 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here