Kekalkan Muhyiddin teraju PN untuk PRU-15

0
262

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

KEKALAHAN Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan satu pengakhiran kepada gabungan tersebut.

Ketua Penerangan PN Johor, Mohd Solihan Badri berkata, sebaliknya akan terus membakar semangat dan iltizam gabungan itu untuk meneruskan perjuangan agenda pembaharuan landskap politik, tadbir urus negara berteraskan integriti serta mensejahterakan rakyat.

“Kepemimpinan PN tidak akan terus membiarkan mana-mana pemimpin yang terpalit dengan jenayah rasuah dan penyelewengan kuasa daripada terus memimpin sebuah parti Melayu serta menerajui kerajaan di negara ini.

“Kami khuatir, ahli-ahli parti itu pun akan sama-sama mengamalkan rasuah dan menerima gejala tersebut sebagai satu budaya kerana menteladani perlakuan pemimpi mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Sabtu, Barisan Nasional (BN) mendapat kemenangan selesa melebihi majoriti dua pertiga apabila berjaya memperoleh 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan pada PRN Johor ke-15.

Menerusi keputusan rasmi dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), PN menang tiga kerusi yang mana Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyumbang dua, manakala Pas pula meraih satu kerusi.

Sementara Pakatan Harapan (PH) berjaya memenangi 11 kerusi, diikuti PN tiga, Parti Keadilan Rakya (PKR) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) masing-masing satu kerusi.

Ketiga-tiga kerusi PN itu dimenangi oleh Datuk Dr. Sahruddin Jamal di DUN Bukit Kepong (majoriti 710 undi); Alwiyah Talib di DUN Endau (majoriti 3,041 undi) dan Abdul Aziz Talib di DUN Maharani (majoriti 1,037 undi).

Mohd Solihan pula bertanding di kerusi DUN Gambir tewas dalam pertembungan empat penjuru menentang Sahrihan Jani (Barisan Nasional), Na’im Jusri (Pakatan Harapan) dan Suraya Sulaiman (Parti Pejuang Tanah Air).

Mengulas lanjut, beliau berkata, PN Johor mahu Muhyiddin perlu dipertahankan sebagai Pengerusi PN dan Pengerusi PN Johor sekali gus kekal menerajui kepemimpinan gabungan itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Katanya, ini kerana cabaran lebih besar menanti pada PRU15 yang boleh diadakan dalam lingkungan tempoh sehingga pertengahan 2023.

“Penerangan PN Johor mahu menegaskan, kepemimpinan Muhyiddin juga masih diperlukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menerajui kepemimpinan PN sebagai gagasan yang memperjuangkan sebuah kerajaan berintegriti, cekap mentadbir urus dan prihatin rakyat bersama parti komponen iaitu Pas serta Parti Gerakan Malaysia (Gerakan).

“Kami tahu, ada pihak menggunakan sentimen kekalahan calon-calon PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kelmarin untuk mengadu domba bahawa punca utamanya konon disebabkan kesilapan pendekatan mahupun strategi Muhyiddin.

“Namun kami tahu beliau, barisan kepemimpinan PN serta jentera pilihan raya parti telah melakukan yang terbaik untuk memenangi pilihan raya berkenaan tetapi banyak faktor lain menyumbang kepada kekalahan tersebut,” katanya.

Selepas keputusan PRN Johor dikeluarkan pada malam Sabtu, Muhyiddin Yassin menyatakan kesediannya melepaskan jawatan sebagai Pengerusi PN susulan kekalahan teruk PN pada PRN tersebut.

Muhyiddin berkata, kekalahan PN pada PRN Johor adalah tanggungjawabnya namun keputusan mahu melepaskan jawatan itu memerlukan persetujuan daripada rakan-rakan dalam gabungan PN iaitu Bersatu, Pas dan Gerakan. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here