14 PATI Indonesia cuba masuk masuk Malaysia ikut jalan laut ditahan

0
215

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan seramai 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba memasuki perairan negara ini pagi semalam.

Pengarah Maritim Malaysia Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan Op Pertiwi menerima maklumat daripada komuniti nelayan berhubung sebuah bot yang sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan kira-kira pukul 9.30 pagi.

Menurut beliau, hasil maklumat tersebut anggota bot ronda Maritim Malaysia telah menahan bot kayu terbabit yang dipercayai dari Indonesia bersama 14  penumpang di kedudukan 2.9 batu nautika barat daya Sungai Pinang.

“Ketika bot ronda Maritim Malaysia menghampiri bot tersebut untuk pemeriksaan, empat individu dalam bot berkenaan telah bertindak terjun laut  untuk melarikan diri, namun cubaan mereka gagal selepas diselamatkan dan kemudian ditahan bersama PATI yang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan awal mendapati bot yang dinaiki oleh 14 lelaki dipercayai warga Indonesia berumur antara 21 hingga 51 tahun termasuk tekong itu dalam perjalanan dari pangkalan daerah Seruway, Acheh dan cuba memasuki Malaysia melalui jalan laut yang tidak diwartakan.

Sehubungan itu jelasnya, kesemua PATI berkenaan ditahan dan dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

“Kes akan disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Akta Imigresen 1959/63 iaitu kesalahan melakukan aktiviti penyeludupan migran dan memasuki Malaysia melalui pintu yang tidak diwartakan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berterima kasih kepada komuniti maritim yang prihatin dalam menyalurkan maklumat atau aduan segera yang melibatkan aktiviti jenayah di persekitaran mereka dan berharap dapat dikekalkan dan dipertingkatkan demi kesejahteraan bersama.

Tambah beliau, sebarang aduan salah laku jenayah maritim di laut  atau sebarang kecemasan boleh disalurkan di talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau talian kecemasan MERS 999. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here