BN menang di Johor, Najib layak kembali jadi Presiden UMNO

0
728

Bila ‘boss kau’ disambut meriah

Tebuan Tanah (TT) tau Najib Razak rasa beliau paling popular, walaupun sudah didapati bersalah oleh dua mahkamah dan empat hakim dalam kes SRC International…ke mana saja beliau pergi ‘dilihat’ nampak sambutan.

Sebab itu Najib kata, ‘’sambutan setakat ini Alhamdulillah dan saya harap semangat ‘Bossku’ ini dapat diterjemahkan dalam undi kepada BN nanti..itu saya harap sangat.’’

Terbuktilah dalam BN tak ada lagi orang sepopular Najib, tak kisahlah, Ahmad Zahid Hamidi atau Tok Mat Hasan..semuanya tak boleh lawan populariti Najib. Zahid dilihat ‘teraba-raba’ manakala Tok Mat pula nampak tak menonjol.

Jadi TT tak terkejutlah bila dengar cakap-cakap BN terpaksa guna Najib yang dihukum 12 tahun penjara dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan oleh mahkamah berkempen di kawasan kelabu.

TT tak pasti sejauh mana benda ni betul tapi kalau tengok cara Najib turun di Johor dan sebelum ni di Melaka..riak-riak itu ada, nak buat macam mana BN nak harap kat sapa lagi? Walaupun khabarnya ramai ahli-ahli UMNO di Johor tak selesa, kepemimpinan BN tak ada pilihan sebab yang penting menang.

Kalau begitu keadaannya, jika nanti BN menang besar di Johor, Najib paling layak kembali menjadi Presiden UMNO. Lagipun khabarnya majoriti ketua bahagian masih setia bersama ‘boss kau’. Bila BN menang PRU, Najib boleh jadi PM sekali lagi. Yang lain tu boleh lah terus bermimpi…

Bangsa Johor bijak menilai antara integriti dan populariti

SEORANG sahabat TT di Johor mengeluh bila lihat ramai jugak orang yang sambut Najib Razak walaupun majoritinya dikatakan bukanlah pengundi tempatan. Tapi tak kisahlah, janji bila orang tengok gambar dalam media sosial…’boss kau’ dapat sambutan.

Sahabat TT ni bukannya tak sokong BN, dia penyokong tegar UMNO, cuma dia rasa kecewa bila tengok Najib disambut macam tu. Soal Najib tengah dalam rayuan atau tidak, itu bukan soalnya yang penting dua mahkamah dah kata dia salah, lebih buruk lagi, kes bekas Perdana Menteri – satu dunia heboh…malu Malaysia.

Bila orang dok panggil Najib dengan pelbagai gelaran, UMNO turut terima tempiasnya, tu yang sahabat TT kecewa. Sepatutnya UMNO tak lagi bergantung kepada Najib. Parti itu kena jauhkan diri daripada Najib atau mana-mana pemimpin yang ada kes mahkamah.

Malangnya kata sahabat TT, benda tu tak berlaku sebab dalam UMNO, semua orang tak berani buat langkah untuk pinggirkan Najib sebab mereka tak ada kekuatan. Jadi mahu tak mahu, mereka terpaksa ikut sahaja rentak politik Najib.

Sebenarnya bukan hanya sahabat TT yang dok bercakap pasal ‘boss kau’ ni, ramai lagi ahli-ahli UMNO pun ada perasaan yang sama. Malah ada yang cakap kat TT, 12 Mac ni, mereka tak nak keluar mengundi walaupun mereka ahli UMNO, sebabnya mereka tak nak nanti kalau BN menang, UMNO tak berubah.

Bukan mereka tak sayang UMNO, cuma kata mereka, kalau BN menang maknanya itu kemenangan untuk pemimpin ada masalah integriti. Memang betul, BN nak menang tapi kata mereka, tak payahlah bergantung kepada kelompok ‘kluster mahkamah’. Tak kan kita nak mengajar anak cucu kita untuk sanjung pemimpin yang sah-sah didapati bersalah oleh mahkamah kerana rasuah dan salahguna kuasa?

Semua pandangan tu, TT simpan dalam hati dan bermain di fikiran sepanjang masa. Tambahan pula bila tengok orang sambut ‘boss kau’ agak meriah, cuma TT dok tertanya-tanya, adakah ia akan diterjemah dalam bentuk undi, sebab bangsa Johor ada kebijaksanaan tersendiri dalam menilai antara integriti dan populariti.

Tebuan Tanah (TT) berpengalaman lebih 30 tahun dalam dunia kewartawanan.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SatuBerita.

Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri. SatuBerita menghargai pendapat anda. Hantar pendapat anda ke emel, [email protected]

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here