Hasnol janji selesaikan isu perumahan 3,245 generasi kedua Felda di Sedili

0
525

CALON Perikatan Nasional (PN), Mohd Hasnolhadi Mohd Sebalas memandang serius kesukaran generasi kedua enam kawasan Felda di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sedili memulakan pembinaan 3,245 rumah milik masing-masing.

Bagaimanapun tegas beliau, isu pembinaan rumah itu boleh diselesaikan menerusi komitmen mensejahterakan komuniti Felda seperti dinyatakan dalam Ikrar Perikatan Nasional untuk rakyat Johor sempena Pilihan Raya Negeri (PRN), pada 12 Mac ini.

Generasi kedua yang terlibat dengan masalah itu adalah di Felda Aping Timur, Felda Aping Barat, Felda Simpang Waha, Felda Bukit Waha, Felda Bukit Easter dan Felda Tenggaroh Selatan 1, yang tidak boleh membina kediaman masing-masing kerana tiada infrastruktur di tempat mereka khususnya jalan, longkang serta bekalan air dan elektrik.

Pada Khamis lalu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, melancarkan Ikrar Perikatan Nasional Untuk Bangsa Johor yang ditawarkan kepada rakyat Johor termasuk komuniti Felda, sempena PRN Johor.

Sebagai calon PN, Hasnolhadi amat yakin ikrar mensejahterakan komuniti Felda menerusi Tunjang 4 – Keprihatinan Kepada Rakyat, adalah sangat penting untuk merubah generasi kedua Felda untuk memiliki kediaman dan membina kehidupan dengan keluarga sendiri.

“Saya juga ingin menyampaikan berita gembira kepada komuniti Felda sekiranya PN menerajui Kerajaan Negeri selepas PRN Johor nanti, premium tanah bagi semua lot tanah yang diluluskan kerajaan negeri di bawah Program Pemberimilikan Lot Tanah Generasi Baharu FELDA bagi tujuan pembinaan rumah akan ditetapkan pada kadar RM1 sekaki persegi,” katanya.

Untuk rekod, kesemua 3,245 lot tersebut telah diserahkan kepada pemiliknya dari kalangan generasi kedua Felda, sejak tahun 2019.

Bagaimanapun, mereka tidak dapat membina rumah kediaman masing-masing berikutan ketiadaan infrastruktur di lokasi tersebut.

Beliau berkata, komitmen lain yang diikrarkan untuk komuniti Felda termasuk di DUN Sedili adalah tindakan segera meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat, penyediaan kemudahan dan prasarana di kawasan rancangan tersebut.

“PN juga berikrar akan memastikan projek perumahan generasi baharu FELDA yang sedang dibaik pulih dan disiapkan pada 2022 ini supaya dapat disempurnakan dengan segera.

“Kami juga memberi jaminan bahawa projek perumahan generasi baharu FELDA yang terbengkalai tetapi berpotensi untuk dibaik pulih, akan diselamatkan,” katanya.

Menurut anak jati Sedili itu, kerajaan PN juga akan memperhebatkan penyertaan komuniti FELDA dalam aktiviti pertanian bernilai tinggi melalui penggunaan teknologi dan automasi terkini serta strategi pemasaran menyeluruh bagi meningkatkan pendapatan termasuk pemasaran menerusi e-dagang.

“Saya yakin semua ikrar ini boleh ditunaikan dengan kebijaksanaan kepemimpinan PN termasuk menjalin dan memperkukuhkan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan serta Felda,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here