Perlekeh pemberian air percuma: Khaled Nordin angkuh, tidak sensitif, kata Muhyiddin

0
273

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin membidas bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang merendah-rendahkan dua tawaran manifesto PN bagi meringankan golongan berpendapatan rendah.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, Mohamed Khaled dilihat tidak sensitif malah tidak wajar merendah-rendahkan tawaran yang boleh memberi manfaat kepada orang ramai.

“Kita menawarkan untuk memberikan 20 meter padu air secara percuma kepada rakyat di bawah kategori B40 di Johor tetapi seorang bekas Menteri Besar UMNO mempersendakan komitmen itu.

“Ini jelas menunjukkan sikap tidak sensitif dan angkuh. Beliau tidak peka dengan nasib rakyat Johor terutama mereka yang pendapatannya terjejas teruk

“Beliau juga kata perkara ini telah dilakukan sebelum ini dan tetapi ini bukan soal meniru tetapi bagaimana untuk membantu rakyat.

“Perkara kecil seperti ini amat bermakna kepada rakyat tetapi tidak bagi mereka kerana mereka sudah kaya,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap dalam Majlis Dialog Bersama Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Menteri-Menteri Berkaitan Ekonomi di Pulai Spring Resort, Kulai, hari ini.

Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Pada 2 Mac menerusi manifesto PN yang dipanggil Ikrar IKRAR Perikatan Nasional#DemiBangsaJohor yang dilancarkan oleh Muhyiddin sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, antaranya menawarkan penghapusan bayaran lesen dan sewa tapak perniagaan serta pemberian air percuma.

Menerusi satu entri dimuat naik dalam Facebook Mohamed Khaled memaklmkan, kerajaan negeri Johor terdahulu telah melaksanakan inisiatif untuk menyediakan 10 meter padu air percuma kepada mereka dalam kategori B40 dalam Bajet Johor 2021. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here