Beri peluang PN perintah – Abdul Hadi

0
259

PRESIDEN PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang menyeru pengundi Johor memberi peluang kepada Perikatan Nasional (PN) untuk memerintah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Mac ini, dengan mempercayai bersungguh-sungguh sumpah calon-calon parti gabungan itu dalam memerangi rasuah.

Menurut Timbalan Pengerusi PN itu lagi, negara telah berdepan dengan penyakit yang sangat parah iaitu rasuah dan salah laku yang bukan sahaja melibatkan pegawai berpangkat rendah yang gajinya tidak cukup, malah turut membabitkan individu bergaji besar.

Memetik hadis Rasulullah SAW mengenai laknat Allah ke atas pemberi dan penerima rasuah, beliau menjelaskan bahawa salah satu cara untuk menghapuskan rasuah adalah dengan mengambil tindakan dengan memberi pengajaran kepada perasuah.

Untuk rekod pada 3 Mac lalu semua 56 calon PN pada PRN Johor mengangkat sumpah dan akujanji menolak amalan rasuah. PN menjadi satu-satunya parti yang mensyaratkan semua calonnya mengangkat sumpah menolak rasuah. 

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Maran memberi contoh rakyat Amerika, Britain dan India yang menukar kerajaan melalui pilihan raya apabila mendapati parti pemerintah melakukan rasuah dan salah laku.

“Ni dak… kita (di Malaysia) lepas UMNO…(pilih) UMNO… lepas UMNO, UMNO… dia buatlah nak buat apa pun… pilih selama-lama. Itu (tindakan yang) tak kena.

“Bila kita dah tahu dia ada salah laku, kita kena ambil satu tindakan untuk ajar dia melalui pilihan raya.

“Kita dah ada penyakit yang sangat parah, penyakit salah laku. Sudahlah gaji pegawai kerajaan tak cukup yang pegawai-pegawai rendah ni… yang duduk di bandar nak tanggung anak isteri. Kadang-kadang melakukan rasuah… melakukan salah laku kerana gaji tak cukup. Ini kena jadi tanggungjawab kita untuk naikkan gaji. Biar cukup nak tanggung.

“Kemudian yang gaji mahal pun rasuah juga… berbilion-bilion… payah sangat nak ambil tindakan. Ini suasana tak betul. Bukan kita setuju rasuah… tidak. Nabi kata Tuhan laknat orang yang beri rasuah dan terima rasuah,” katanya pada ceramah umum PN di Bilik Gerakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulai Sebatang, malam tadi.

Untuk rekod, beberapa pemimpin utama UMNO sebelum ini telah dituduh di mahkamah kerana terlibat dalam rasuah membabitkan berbilion-bilion ringgit, termasuk Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata rakyat perlu sama-sama menghapuskan penyakit rasuah dan salah laku itu, bukan sahaja dengan kata-kata dan tulisan sahaja, malah menawarkan gaji yang mencukupi kepada pegawai kerajaan serta mengambil tindakan tegas.

“Dan kita telah melantik calon-calon yang bersumpah untuk lawan rasuah. Sumpah orang Islam ni sangat besar. Dengan sebab itu, percayalah pada kita (Perikatan Nasional) sungguh-sungguh dan saya harap rakyat akan pilih kita.

“Pilih Perikatan Nasional dalam pilihan raya ni. Beri peluang kepada kami memerintah… tengok bagaimana kami buat. Baru beberapa bulan saja kita memerintah (sebelum ini)… berilah masa panjang sikit untuk kita memerintah… nak tunjuk bagaimana kita nak perbetulkan balik keadaan ini.

“Mudah-mudahan pengundi-pengundi (di Johor) dapat menunaikan tanggungjawab. Dari situlah pesanan saya… nasihat saya… semoga Allah Taala memberi petunjuk kepada semua untuk memilih Perikatan Nasional,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here