[VIDEO] 56 calon PN tandatangan akujanji integriti, bebas rasuah

Bukti komitmen PN untuk sediakan barisan pemimpin bersih untuk rakyat Johor

0
495

SEMUA 56 calon parti Perikanan Nasional (PN) yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, mengangkat sumpah akujanji serta menandatangani akuan integriti di sebuah majlis khas, di Senai, Johor, hari ini.

Majlis bacaan ikrar dan angkat sumpah itu diketuai oleh Setiausaha PNl Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal bagi membuktikan kesungguhan parti gabungan berkenaan untuk membentuk sebuah kerajaan yang berintegriti dan bersih.

Akuan sumpah itu adalah kali kedua dilakukan PN, selepas kali pertama ketika PRN Melaka, tahun 2021 dan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, pendekatan itu akan dijadikan amalan selepas ini bagi menghadapi mana-mana pilihan raya.

Muhyiddin berkata, ikrar dan angkat sumpah itu dilakukan bagi membuktikan kesungguhan parti gabungan PN membentuk sebuah kerajaan Johor yang berintegriti dan berpegang kepada prinsip.

Secara tidak langsung, katanya ia akan membantu membina negara dan masyarakat di atas nilai yang murni dan berintegriti.

“Kita ingin didik masyarakat dan generasi akan datang betapa pentingnya kepimpinan yang berasaskan nilai yang murni. Hanya dengan amalan nilai yang murni kita dapat lahirkan kepimpinan yang berintegriti, cekap dan prihatin rakyat.

“Apabila pemimpin berintegriti, maka wujudlah masyarakat dan negara yang makmur, sejahtera dan sentosa.

“Melahirkan kepimpinan yang berintegriti bermula daripada kita. sebagai calon-calon wakil rakyat yang akan dipilih oleh rakyat negeri Johor untuk mentadbir negeri Johor kelak, anda semua memikul satu amanah yang berat dan tanggungjawab yang besar untuk memastikan nilai integriti sentiasa dijunjung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di di Majlis Ikrar dan Tandatangan Aku Janji Integriti Calon Perikatan Nasional (PN) di Senai, hari ini. Semua dokumen akujanji itu kemudianya diserahkan oleh Dr Sahruddin kepada Muhyiddin.

Muhyiddin juga menasihati pengundi di Johor supaya menjadikan PRN kali ini sebagai permulaan pembentukan sebuah kerajaan yang berasaskan nilai integriti dan prihatin rakyat seperti yang ditawarkan pihaknya.

“Anda adalah benteng utama untuk menyekat kemaraan semula kumpulan kleptokrat dan politik lama mereka yang berasaskan rasuah dan penyelewengan,” katanya.

Ketika sidang media selepas majlis itu, Muhyyiddin berkata, beliau yakin bangsa Johor akan bijak memilih pemimpin yang bersih dan berintegriti.

“Ini adalah bukti kita bukannya bersikap sambil lewa. Kita nak ingatkan kepada rakyat Johor bahawa negara ini sudah tercemar disebabkan pemimpin tidak berintegriti. Buktinya cukup jelas, apabila bekas perdana menteri Malaysia terlibat dalam skandal besar.

“Pendekatan ini cukup penting kerana ia adalah satu permulaan yang baik. Rakyat Johor orang yang baik, jadi kami mahu sediakan kerajaan yang baik,” katanya – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here