PRN Johor: Calon BN dan PN bertembung – “Tak ada gaduh-gaduhnya, macam pilih ketua kelas”

0
316

AKTIVITI bertemu penduduk Taman Sri Bakri III, dekat Muar pada Khamis berada dalam suasana sangat harmoni walaupun dua calon yang bertanding, Datuk Lokman Md Dom dari Barisan Nasional (BN) dan calon Perikatan Nasional (PN) dari Pas, Zarul Salleh ‘bertembung’ di sebuah rumah di situ.

Kedua-dua calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram itu kelihatan cerita dan berbual mesra sambil melihat sendiri keadaan sebuah rumah penduduk yang dilanda ribut baru-baru ini.

Ketika ditemui UtusanTV di lokasi itu, Lokman berkata, tidak timbul soal hendak lawan antara satu sama lain kerana kedua-duanya merupakan rakan lama.

“Kita sudah kawan lama, mana ada nak lawan-lawan. Kita kempen macam biasa sahaja,” katanya.

Semasa aktiviti mengunjungi rumah penduduk, Lokman sempat mempelawa Zarul untuk bersamanya meneruskan ziarah ini, namun Zarul mempunyai aktiviti yang sama di lokasi yang lain.

Kata Zarul, mereka sudah berkawan lama, malah Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini diibaratkan memilih ketua dalam bilik darjah.

“Kami ini ibarat, macam dekat kelas, hendak lantik ketua darjah. Itu sahaja. Tak ada gaduh-gaduhnya,” katanya seperti yang dilaporkan UtusanTV.

Pada PRN Johor ini, DUN Simpang Jeram ditandingi empat calon iaitu Lokman, Zarul, Mahaizal Mahmor (Pejuang) dan penyandang, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang mewakili Pakatan Harapan (PH).

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Salahuddin memenangi kerusi ini dengan majoriti 7,687 undi.

DUN Simpang Jeram mempunyai 40,014 pengundi berdaftar. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here