SOP PRN Johor untuk kebaikan semua

0
276

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

PROSEDUR operasi standard (SOP) yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah untuk kepentingan semua parti politik yang bertanding.

Presiden MCA, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong berkata, SOP berkenaan untuk menjaga keselamatan dan kesejahteraan dalam mengekang penularan Covid-19.

“Parti politik harus bersyukur kerana masih diberi peluang untuk berkempen walaupun dalam keadaan terhad kepada seramai 100 orang sahaja.

“Dulu ketika PRN Melaka, banyak perkara yang tidak boleh dilakukan, sekurang-kurangnya sekarang kita boleh duduk di bilik gerakan, di pejabat masing-masing dan mengadakan perbincangan atau membuat program.

“Kalau sebelum ini tidak boleh berkempen rumah ke rumah, sekurang-kurangnya sekarang kita dapat buat walaupun tidak masuk ke dalam, di luar pagar atau di luar pintu sahaja mencukupi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-henti (SBST) Johor Bahru di Renaissance Hotel, Johor Bahru, pada Ahad.

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, keputusan SOP itu dibuat selepas SPR melakukan penilaian risiko melibatkan situasi semasa Covid-19 di negara dan negeri ini khususnya.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan ketika berucap melancarkan Jentera Perikatan Nasional (PN) Ledang di Tangkak, pada malam tadi, menyifatkan SOP untuk PRN Johor tidak adil dan memihak kepada UMNO dan BN.

Beberapa parti politik sebelum itu antaranya DAP dan PKR mengkritik SOP tersebut yang dianggap berat sebelah dan menyusahkan rakyat.

Sehubungan itu mereka mendesak SPR mengkaji semula SOP berkenaan serta memberi lebih kelonggaran khususnya jumlah peserta dan tempoh berkempen yang dihadkan sehingga jam 10 malam dipanjangkan. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here