Muhyiddin berjaya ubah nasib peneroka, kata orang kuat Amanah

0
514

SALAH seorang orang kuat Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Mazlan Aliman mengakui Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, telah membawa perubahan kepada nasib peneroka Felda.

Mengatakan dasar yang diperkenalkan bekas Perdana Menteri itu untuk melupuskan 80 peratus hutang peneroka adalah salah satu kejayaan Muhyiddin, Mazlan berkata kerajaan pimpinan Presiden Bersatu itu memiliki keazaman politik yang kuat untuk melakukan perubahan.

Memetik kenyataan disiarkan Malaysianow, Mazlan yang juga aktivis isu-isu Felda bersama Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) berkata, Muhyiddin sebagai Perdana Menteri telah mengambil langkah proaktif dalam membawa perubahan kepada peneroka Felda.

“Tidak dapat disangkal, Muhyiddin Yassin selaku perdana menteri, mengambil langkah proaktif dalam membawa perubahan di Felda.

“Pengambilalihan semula pegangan lebih 80 peratus kepentingan di FGV, pelupusan 80 peratus hutang peneroka dan pelaksanaan Program Pembangunan Peneroka (PPP) adalah antara kejayaan yang dilihat peneroka,” katanya.

Sebaliknya, Mazlan berkata 22 bulan pemerintahan Pakatan Harapan (PH) menyaksikan proses reformasi yang perlahan terhadap isu-isu yang menghambat peneroka Felda.

Katanya, disebabkan perkara itu, ia menyebabkan warga Felda kecewa terhadap kerajaan PH walaupun alasan boleh diberikan mengenainya.

“Ia mengundang kritikan dan kecaman hebat warga Felda yang mempersoalkan manifesto dan janji yang diutarakan dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-14,” katanya.

Kenyataan Mazlan ini tampil menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, negeri yang menempatkan lebih 70 kawasan penempatan Felda yang sering dianggap sebagai kubu kuat UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Dari 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan, 72 kawasan Felda berada di 20 DUN negeri itu dengan jumlah populasi sekitar 180,000 orang.

“PRN Johor akan menjadi kayu ukur sebenar tahap sokongan pengundi Felda. Adakah pengundi Felda yang terdiri dari peneroka dan generasi Felda sekitar 180,000, kembali sebagai simpanan tetap BN?,” katanya.

Sebelum ini, Mazlan membayangkan kekalahan PH dan memberi amaran jika gabungan itu memutuskan untuk menghadapi PRN Johor dengan kedudukan sekarang ini, ia akan berdepan kekalahan seperti apa yang berlaku pada PRN Melaka.

Berikutan itu, Mazlan menggesa supaya gabungan PH memperluaskan kerjasama bagi menghadapi PRN Johor dengan melibatkan gabungan Perikatan Nasional (PN) dan sekutunya.

“PH yang dianggotai PKR, Amanah, DAP dan Upko ibarat ‘serah tengkuk’ kepada BN jika berada pada status quo seperti di Melaka dan Sarawak,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here