MUDA itu ‘anak’ ciptaan DAP, dakwa Hadi Awang

0
663

PRESIDEN parti PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendedahkan, DAP kini mencipta parti baharu melalui penubuhan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang dipimpin Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Sebelum ini, katanya DAP juga yang menjadi tunjang kepada penubuhan Parti Amanah Negara (PAN) yang meletakkan sasaran menarik sokongan penyokong PAS.

“PAN itu DAP yang cipta, nak tarik org PAS. Sekarang, ada parti Muda, itu pun anak DAP juga,” katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran Perikatan Nasional (PN) Johor yang berlangsung di Kota Tinggi, malam tadi.

Majlis itu menghimpunkan pemimpin utama PN termasuk Pengerusi Perikatan Nasional dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Gerakan Datuk Dr. Dominic Lau; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Seri Ahmad Yaakob serta pemimpin utama parti komponen PN.

Ketika ini, MUDA yang julung kali bertanding pada pilihanraya berdepan jalan buntu apabila isu agihan kerusi dengan PKR gagal berikutan MUDA dikatakan bertegas menuntut kerusi lain, selain yang ditawarkan.

PKR menawarkan tiga kerusi untuk ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini tetapi MUDA mahukan kerusi selamat di kawasan bandar.

Manakala rundingan dengan DAP dan Amanah sudah diselesaikan apabila mereka mudah menyerahkan enam kerusi kepada MUDA iaitu Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa dan Bukit Permai

Mengulas lanjut, Hadi berkata sebelum ini PAS pernah bersama DAP di dalam Pakatan Harapan (PH) tetapi membuat keputusan mengambil haluan masing-masing disebabkan pendekatan parti itu yang terlalu ekstrem.

“PAS baru saja berpisah dengan DAP, parti ekstrem, bukan macam Gerakan. Mereka (DAP) anti islam, anti Melayu dan Raja-Raja.

“Kami tidak sanggup bersama mereka. PKR (Parti Keadilan Rakyat) itu parti penipu. Kita tahu PH ini menipu, nak hapuskan minyak 24 jam, hapuskan (pinjaman) PTPN (Perbadanan Tabung Pendidikan Negara). Teruk janjinya, macam anak raja nak kahwin dengan Puteri Gunung Ledang,” katanya.

Disebabkan keadaan itu, katanya PAS bersama Bersatu mencari pendekatan baharu dan akhirnya bersetuju menubuhan Perikatan Nasional.

Pada masa sama, Hadi menegaskan Umno juga perlu ditolak rakyat kerana menjadi punca berlakunya wabak politik wang yang jelas merosakkan negara,

“Ketika PRU-14, Tuhan bagi petunjuk. BN yang memerintah negara 60 tahun lebih di Malaysia, tumbang akibat wabak politik wang. Ramai rakyat menolak kepimpinan mereka, ramai yang keluar termasuk bekas Perdana Menteri (Muhyiddin), dan menubuhkan Bersatu.

“Rakyat tolak BN kerana salah laku yang malu saya nak sebut,” katanya yang secara sinis mengatakan Umno sepatutnya ‘bersara’ apabila melebihi usia 60 tahun.

Katanya, Umno yang diberi amanah untuk memerintah Johor menyusahkan rakyat negeri itu apabila membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan mengadakan PRN.

“Kita minta Johor jadi guru kepada negeri lain dalam hal politik. Orang Sabah sudah ajar PN menang di PRN Sabah, tak kan orang Johor tak boleh buat, malulah orang Johor. Jangan salah mengundi, sudah 60 tahun kita buat silap,” katanya – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here